Sunday, October 11, 2015

Katakan Yang Benar





“Katakan yang BENAR walau dalam kebenaran itu ada kepahitannya.”


Tidak adil bagi seorang ayah memaksa anaknya bersolat lima waktu jika solatnya sendiri masih belum cukup. Itulah kiasan yang menjadi kunci yang perlu dipegang oleh para penyebar agama ALLAH swt; sentiasa berkata apa yang dibuatnya.

Sekiranya setiap umat Islam tidak mengambil berat dengan ibadah diri sendiri, sekadar menyebarkan dakwah siang dan malam, akhirnya agama itu akan jatuh.

“Orang orang  yang tidak pernah langsung beribadat malam, tidak layak untuk bercakap dakwah.”

                                                   [Tuan Guru Syeikh Ibrahim]

Penulis bukan bertujuan menyekat usaha dakwah, malah amat berterima kasih kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia yang sentiasa berdakwah ke arah agama ALLAH swt dengan cara masing masing. Namun, bekalan pada diri sendiri juga perlu kita siapkan.

Rasulullah SAW sendiri sewaktu ingin menghantar Muaz bin Jabal untuk mengajar di Yaman, baginda menyoal selidik tentang latar belakang ilmu Muaz bin Jabal terlebih dahulu.

“…dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) ALLAH tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.”
                                                                                                [31:20]

Formula utama kejayaan dakwah Rasullullah SAW; pertama, pendidikan ilmu secara langsung yang diperoleh dari ALLAH swt melalui perantaraan Malaikat Jibril. Kedua sifat serta peribadi baginda itu sendiri yang amat mulia. Apa yang baginda perintahkan, baginda juga lakukan. Apa yang baginda larang, baginda sendiri tidak lakukan.

Hari ini, orang bukan Islam makin jauh dengan Islam adalah kerana sifat kita yang banyak memperkatakan Islam, tetapi amat sedikit sekali menghidupkannya. Orang lebih mengenali Islam melalui nama yang ada pada kita, bukan amalan kita. Orang mengenali sesebuah pertubuhan Islam kerana nama Islamnya, bukan aktiviti yang direncanakannya. Orang mengenali Negara Islam kerana ia tertulis di perlembagaannya, bukan kerana penghayatannya.

Kerana itu Nabi bersabda;

“Daripada Ali bin Abi Talbi r.a berkata, telah bersabda Rasulullah SAW, “Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya dan tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat jahat makhluk yang ada dibawah kolong (naungan) langit. Dari mereka, berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah ini akan kembali.
                                                                        [Hadis Riwayat Baihaqi]

statistik menunjukkan rata rata orang bukan Islam yang memeluk Islam di seluruh dunia pada hari ini adalah kerana membaca al-Quran terjemahan, terdengar azan, perkahwinan dsbgnya. Yang menyedihkan, tidak ramai di antara mereka yang berlapang dada tertarik hati memeluk Islam kerana terpesona dengan akhlak dan budaya ilmu umat Islam itu sendiri. Seorang profesor dari barat yang baru memeluk Islam menegaskan, andai orang bukan Islam menyandarkan Islam itu kepada tabiat serta akhlak orang Islam kini, pasti mereka tidak akan memeluk Islam.

Ayuh tambahkan ilmu didada, tingkatkan amalan dijiwa, supaya kelak kita tidak dipersendakan, agama kita tidak dipandang sebelah mata. Teruskan tradisi dakwah, tingkatkan prestasi ukhuwah, mantapkan saf atas dan bawah, insyaAllah Islam tidak akan kalah.

Petikan dari:
Khutbah Terakhir Rasulullah
Ibnu Rijal



xxxxxxx

Menyampai
Dalam kata kata
Hatta sekadar coretan tulisan
Tak semudah saat jejari berlari di dada keyboard
Dan tak semudah lantuan suara yang bergema

Menulis
Tak semudah apa yang akal fahami
Tak semudah kehendak hati yang mengingini
Kerana menyampai tanpa laku yang mengikuti
Bagaikan pohon yang ditanam namun tak dibaja
Perlahan kan mati
Lalu menyembah ke bumi

Pada bait ayat ayat yang bersimpul
Menjadi susunan yang cantik
Aku di uji
Dengan kepahitan disebaliknya

Saat DIA menginginkan aku memahami
Aku terhenyak pada baris kata yang aku tulis
Kala DIA bentangkan rangkaian kata yang aku simpul
Di hari yang aku lalui
Aku tersungkur rebah menangis sendiri
Memaksa aku membawa kaki ke daerah sunyi
Mencari secangkir harga diri
Agar aku tak lagi menjadi si pencuri
Menulis tanpa aku sendiri melakukannya..

Dan sungguh
Khilaf itu bagaikan Rahmat
Dari DIA Yang Maha Memberi
Kerana disebaliknya
Terkandung Cinta Tulus Illahi

Terima kasih Tuhan
Mendewasakan aku dalam pahitnya rencah kehidupan
Kala disebalik kepahitan itu
Aku dapat menghirup nikmat kemanisannya

Dan kerana Kasih dan Cinta MU
Yang menjadikan aku teguh berdiri saat ini..
Terima kasih Tuhan ku..


©Dazz




Saturday, October 10, 2015

Yang Terindah






Dalam tenang yang sesekali
Membuatkan dada berombak kencang
Bibirnya lumpuh dari carik
Untuk tersenyum hatta mencebik

Ketika damainya malam yang mengulit
KAU jagakan aku untuk dia
Kerana KAU tahu masanya makin menghampiri
KAU berikan aku waktu
Untuk melakar kenangan bersamanya
Agar aku teguh untuk menjalani hari
Dalam kerinduan yang pasti sesekali 
Akan membuatkan aku lumpuh
Merindukan mu yang jauh..

Dalam bicara mu yang tenggelam
Membingungkan aku dalam kata 
Kala segalanya tak mampu dicerna dek akal waras
Sedang DIA tengah memberi petunjuk
Yang kau kan pergi
Pergi yang tak kan kembali
Meninggalkan aku sendiri..

Dalam celik yang mengayuh mu kepenatan
Kau meminta aku memeluk mu 
Seolah aku tak kan lagi merasa kehangatan pelukan mu
Tika kau tahu jasad mu bakal terbujur kaku
Hanya dapat aku renung dari kejauhan..

Rasa yang bergaul
Membuat aku kalah dalam air mata
Tika aku ingin sekali menjadi teguh untuk mu
Dan kau memandang ku kasih
Meminta ku jangan bersedih
Seolah kau hanya pergi untuk bercuti
Padahal kau tahu kau bakal pulang ke daerah asing
Yang telah dijanjikanNya; pasti

Tika hati berperang
Kau ku bisik agar jangan mengalah
Namun hati menangis agar kau pergi
Agar kesakitan itu tak lagi singgah dijasadmu
Kerana mata mu terzahir penuh dengan kepenatan
Yang membuatkan aku redha untuk melepaskan
Rehatlah sayangku
Kerana telah lama kau berjuang
Dalam hebatnya emosi 
Yang tak pernah terpeta diwajah mu

Ketika larian garis mesin hanya mendatar
Aku menangis
Saat ku tahu
DIA telah menjemput mu pulang kembali padaNYA
Setelah lama kau kami persia
Setelah lama kau memberi tanpa mengharap balas
Setelah lama kau nanti
Kasih insan yang kau sayang
Yang akhirnya jua tak berbalas..

Ketika kaki melangkah
Meninggalkan ruang yang sekali lagi
Membawa orang yang aku sayangi pergi
Langit yang cerah 
Perlahan diliputi awan mendung
Mendakap ku dalam kerinduan yang dalam
Tuhan kuatkan aku..

Kerana kasih mu tak berbalas
Kau pilih untuk memaafkan
Kerana kau tak sempurna
Kau pilih untuk memberi
Walau sering kau disakiti
Kau tetap mencintai..

Selebat air mata gugur dihati
Hujan mencurah membasahi bumi
Menyambut kepulangan mu penuh indah
Tika hentian nafas mu bagaikan tidur yang lena
Membuatkan aku cemburu
Kerana aku tak pasti
Bagaimana pengakhiran untukku nanti..

Kerana DIA telah menanti mu
Hujan bagaikan mengerti
Lalu tak lagi turun membasahi bumi
Dan kau selamat dikebumi
Dari tanah
Pulang ke tanah..

Kerana kasih mu untukku yang tiada jemu dan tak mati
Terima kasih sayang kerana menyayangi aku seadanya
Moga Tuhan ku, KAU redha ke atasnya
Moga kita kan bertemu diSana nanti
Moga Allah mencintai ku sepertimana DIA mencintai mu
Berehatlah insan yang DIA sayangi
Dan doakan perjalanan ku menuju DIA
Agar kita dapat kembali bersua..




Al-Fatihah kesayangan hatiku,
1450:Jumaat:25 Dhu'lHijjah1436AH
WG

Monday, October 5, 2015

Kerana Syurga Itu Mahal Harganya





Jalanan hari tak selalu indah
Ada air mata yang tumpah
Saat hati teruji
Dengan ikhlasnya sabar
Yang dibaja hari ke hari

Ketika kaki berlari dalam teguh yang tak mampu digugat
Dentuman kilat yang menyambar hanya untuk sesaat
Melumpuhkan segala galanya yang didakap

Kerana cuba menjadi
Apa yang dijanji
Hati dipeluk rapat
Berharap degupan yang laju terpujuk tenang
Agar kata tak terluah
Saat detik ini pasti kan berlalu dengan pantas
Tapi tidak pada persoalan yang terluah
Yang hanya akan membuatkan hati parah
Saat hikmahnya DIA persembah

Dan mengapa tika semakin dekat kaki berlari menujuMU
Makin rapuh langkah yang disusun?
Kadang tersungkur berdarah
Membuatkan hati menangis hiba…



“Kakak menangis?”

Tubuh pegun.

“Kenapa?”

Mata hitam yang agak bundar ditatap dalam, bersama senyuman yang perlahan dicarik. “Tak. Adik dari mana?”

“Kakak senyum cantik.” Jari telunjuk lurus ke bibir si gadis yang bertudung.

“Terima kasih..” Hujung hidung digaru bingung. Dek rasa yang kian bercampur aduk.

“Adik datang dengan mama.” Jari telunjuk kecilnya ditunding ke satu arah yang menempatkan tiga batang susuk tubuh yang leka dengan aktiviti mereka. “Kat sana.”

Kepala mengangguk perlahan.

“Layang layang adik jatuh kat tepi kakak..”

Mata mendarat tepat ditangan kanan yang utuh mengenggam layang layang yang telah dikutipnya.

“Kakak sedih kan…”
Akal tak sempat nak cerna soalan yang keluar dari bibir kecil yang petah bertanya tika air mata dipujuk agar tak kembali tumpah dipipi. Kerana hati tersentuh dengan cekalnya si kecil. Kala kakinya tak sesempurna aku dan manusia biasa… ‘Tuhan…’

“Dulu adik pun sedih macam kakak..”

Si mata bundar ditatap. Ada kasih yang tumpah.

“..bila mak adik tak nak adik sebab adik tak macam budak budak lain.”

Air mata yang mengalir tak ditahan. ‘Berlarilah air mata. Duhai hati, moga kau tak lupa untuk bersyukur saat kau terluka. Takkala segala nikmat yang telah DIA kurnia tak terbanding hanya dengan luka yang pernah kau rasa. Dan kerana luka itu pasti DIA kan balut dengan KasihNYA, hingga tiada lagi parut yang terlukis.

“Tapi adik dah tak sedih. Sebab mama cakap Allah sayang adik. Sebab tu Allah uji adik kat sini.”

Tangan kecil yang menyentuh terasa digenggam erat. “Allah sayang kakak..”

Tubuh kecil ditarik ke dalam pelukan. ‘Allah hu Allah…’

“Bila adik rindu kat mak, adik selalu nangis. Dan mama selalu peluk adik kuat kuat. Bila adik tanya mama kenapa adik selalu sedih bila adik rindu mak, dan kenapa mak tak sayang adik macam mama, mama cakap..” Kepala di dongak mencari sepasang mata milik si gadis bertudung. “…kerana Syurga itu mahal harganya..”

Sendu yang pecah menyenakkan dada. ‘Tuhan…’

“Dan saat tu adik dah tak nangis bila adik rindu mak. Sebab mama cakap kalau adik rindu dan sayang kat mak, adik kena solat dan doa banyak banyak kat mak..”

kepala di angguk laju.

“Nanti suatu hari nanti, mesti mak akan sayangkan adik kan..”

“Mak adik akan sayang adik sebab adik anak yang baik…”

“Macam Allah sayang kat akak. Sebab Syurga tu mahal harganya, Allah nak akak doa banyak banyak.”

Kepala di angguk dalam senyuman yang pertama kalinya terasa indah saat dicarik.

“Kerana Syurga itu mahal harganya…”


Saat KAU yang memberi
Mana mungkin hadirnya saja saja
Melainkan untuk mendidik aku
Menjadi sebenarnya hamba

Moga saat tiba masanya
Aku kan pulang
Dalam RedhaMu
Illahi..



Kerana hidup sebuah perjalanan yang panjang saat kau lelah; Sujudlah.
©Dazz




Sunday, October 4, 2015

Kerana Bahagia Itu Adalah Dirimu







Seorang kawan rapat tidak berkongsi kesakitan dengan mu
Seorang kekasih tidak menanggung keperitanmu
Seorang rakan karib tidak menggantikan tempatmu untuk berjaga malam



Oleh itu
Ambil beratlah tentang dirimu sendiri

Jagalah ia
Pimpinlah ia
Jangan kamu layan peristiwa yang berlaku melebihi kadar yang sepatutnya


Jadilah
Ketika engkau bersedih

Tiada yang boleh menenangkanmu kecuali dirimu sendiri
Ketika engkau tewas
Tiada yang boleh memenangkanmu selain dirimu sendiri
Kemampuanmu untuk bangkit semula tiada yang memilikinya selain dirimu..



Janganlah mencari nilai diri mu pada pandangan manusia. Carilah ia dalam jiwa mu sendiri. Bila jiwa itu tenang,  terangkatlah kedudukan. Saat kau mengenal diri mu, selebat mana kata kata yang menghujan mu, tiada satu pun yang mampu membuatkan kaki mu terhenti kerana tiada apa yang boleh memudaratkan mu melainkan dengan izin Allah.


Usah kau tanggung beban keresahan hidup di dunia kerana ia adalah milik Allah. Usah jua kau pikul beban keresahan mencari rezeki kerana ia adalah dari Allah dan usahlah jua kau pikul beban keresahan mengejar masa depan kerana ia adalah di Tangan Allah.

Yang perlu kau pikul hanyalah satu beban keresahan sahaja, iaitu bagaimana hendak melakukan perkara yang meredhakan Allah. Kerana saat engkau meredhakan Allah, Dia akan meredhaimu, mencukupi bagimu dan memadai untukmu.

Janganlah kamu berputus asa dengan kehidupan yang menyebabkan hati mu menangis. Sebaliknya, katakanlah: 

"Ya Allah! gantikanlah untukku dengan kedua dua kebaikan di dunia dan akhirat.."

Kedukaan itu akan hilang dengan satu sujud
Dan kegembiraan akan datang dengan satu seruan


Allah tidak akan sekali-kali melupakan kebaikan yang telah engkau buat atau keresahan yang telah engkau tolong hilangkan atau mata yang hampir menangis yang engkau tolong ceriakan..



Hiduplah di atas prinsip
Jadilah seorang yang baik
Meskipun engkau tidak dilayan dengan baik
Bukan kerana mereka
Tetapi kerana Allah suka kepada orang yang baik.


-Ibn al-Qayyim-

Saturday, October 3, 2015

Kehilangan Dalam Kerinduan






Dalam kayuhan dilautan kehidupan
ENGKAU mengajar aku tentang abadi
Kerana itu KAU lalu kan ujian dihari
Untuk hati alpa ini belajar mengerti
Kehidupan yang abadi 
Hanyalah saat aku kembali padaMU

Dan aku percaya
Setiap yang berlaku itu bukanlah musibah
Walau datangnya penuh kejutan yang membingungkan
Tak kala itulah jalan takdir yang KAU tulis
Agar manusia tak lupa
Ditengah gah kilauan neon yang menyilaukan
Kiamat yang dijanji semakin menghampiri

Ketika aku basah dalam air mata
Memujuk rasa takut akan kehilangan
Mendongak langit Mu
Kian menjadikan aku rindu
Kala padanya aku lihat wajah wajah itu tersenyum

Dan Rabbi...
Aku cemburu
Pada keteguhan mereka suatu ketika dulu
Tika KAU hadapkan mereka dengan badainnya ujian
Pasti mereka menyambut dengan penuh senyuman
Tika saat larian mereka telah sampai di penamat
Mereka pulang dalam rehat yang penuh indah
Tenang bagaikan tasik yang tak pernah terusik

Duhai Illahi...
Bagaimana aku hendak tinggalkan medan perjuangan ini
Saat aku terlalu rindu untuk bersama mereka lagi..

Kerana yang berliku itu selalu terlihat menyakitkan
Aku sering berlari memilih jalanan yang lurus
Dan seringkali itu aku kerap terjatuh
Jatuhan yang tak membuatkan aku bangun dalam kekuatan
Tika aku hanya mampu menangis 
Menahan luka yang bakal meninggalkan parut
Dan ketika aku dihadapakan dengan sebenarnya kehidupan
Membawa aku sedar takdir itu milik Tuhan
Dan aku genggam secebis keyakinan
Walau tiada apa lagi yang tinggal
Kerana aku terlalu ingin merasai maknanya kebahagiaan
Tak kala setiap kali aku terjatuh dilarian yang berliku ini
Sungguh aku rasakan betapa Tuhan ku terlalu dekat..

Walau wajah mu tak pernah aku tatap
Kau selalu ada tika aku meragukan dia
Membawa kaki kembali berlari teguh
Mendakap percayaNya erat ke dada
Walau ketika akal merasakan segalanya mustahil
Dan aku memilih untuk meneruskan langkah
Kerana aku jua ingin pulang
Dalam nafas akhir
Sebagai pejuang..

Tuhan ku
Moga hati ini sentiasa diRedhai Mu
Moga tak kami tergolong dalam kalangan manusia yang rugi

Al-Fatihah 
Buat hati hati yang telah kembali ke sisiNYA
Moga rehat kalian dalam redha Illahi
Doakan kami
Yang masih tak pasti..




©Dazz