Thursday, December 24, 2015

Gadis Aneh


Idea:Dari Langit
Penulis:N.K
________________

Dia selalu ada
Bukan sekadar dalam tawa tetap tika tangis dia setia
Menadah bagaikan dihikayat dengan cerita indah
Rautnya tak pernah jemu hatta menyampah
Dan tuturnya acap kali menikam jiwa
Membuat akal terngadah
Menarik hati mengingat Dia
Yang selalu dilupa kala bersama tawa dan bahagia

Dia
Pada kaca pandangan bagaikan si tabah
Kala hati lelah menampung ujian yang mencurah
Kata terluah dari sang bibir
Dek kagum dengan tabahnya dia
Dan aneh!
Dalam gelak dia menggeleng "Tabah itu bukan 'pandangan'. Saat mata melihat indahnya baju yang tersarung ditubuh, manusia memuji kehebatan si penenunnya bukannya tangis dan luka yang dia harung disebaliknya; walhal kerana itulah sebenarnya tabah yang berjaya membuatkan dia mempersembah kehebatan tenunannya. Dan sebenar tabah itu milik sekeping hati yang tak gugah. Walau lukanya masih kemerahan, dia tetap mendongak ke langit mensyukuri segala yang diberi. Dan walau kekayaan menyelebung memberi rasa indahnya kesenangan, dia tetap tunduk ke bumi mengingatkan hati, hinanya diri tanpa DIA yang Memberi."
Sungguh bicaranya selalu membisukan kata!

Drama
Selalu indah di akhirnya
Hakikat
Selalunya berakhir dengan kepahitan yang tertelan
Dan sungguh dia juga diuji
Dalam luka yang aku sendiri tak mampu galasi
Dan kerana dia gadis aneh
Kala dibentang dengan kebenaran
Dia hanya terpejam dalam bisu
Sebelum seketika bibirnya kembali mencarik senyuman
Menyambung lariannya bagai tiada apa
Tiada rasa kah dia?
Tiada air mata kah dia?
Lalu jasadnya aku tahan menghentikan lariannya
Dek kerana gaulan rasa hati yang tak lagi terbendung
Lantas jemarinya aku genggam; kejap
"Luahlah.."
Dalam intonasi yang memujuk
Si gadis aneh tetap menggeleng dalam senyuman
"Kisah yang tamat, tak kan ada kata yang boleh lagi disusun menjadi perkatan untuk dikisahkan."
Begitulah selalunya dia
Tak pernah tenggelam dalam lautan emosi
Segalanya tetap dia simpan sendiri
Bagai hatinya sedalam lautan
Yang tak pernah penuh hatta retak
Dek dibelah badai ujian

Terngadah dalam langkah itu biasa
Tersungkur dalam larian itu lumrah
Terjatuh dilangkah
Sungguh payahnya untuk bangun hanya Tuhan saja yang tahu
Dan aku terduduk dengan pertanyaan

"Macam mana nak kuat?"

Dia senyum penuh tenang

"Boleh ke kuat?" Ada kerutan didahi yang jelas terbentang

Benar dia gadis yang aneh!

"Macam awak." Jari tegak lurus ke susuknya

Senyuman mati. Tubuh dibawa tegak. "Kekuatan tu hanya milik Dia. Masakan jasad hina ini tanpa silu mengangguk megah bila dikata kuat. Walhal yang mereka sangka kekuatannya itu bukanlah kerana asbab lakunya dia. Tak kala segala kudrat itu adalah ehsannya dari Dia Al-Wahhab; Tuhan Yang Maha Memberi.

Tersentak. Dada berlari kencang. 'Allahu..'

Dan sungguh dia jua manusia yang diuji dan teruji
Cuma dia gadis yang aneh
Yang kini aku mengerti
Mengapa dia sentiasa indah dalam senyumannya
Walau saat disapa dengan ujian dan kehilangan
Kerana
Dia menghadapinya dengan terbiasa diam dalam senyuman
Tak kala dia hamba yang dewasa dalam parut kehidupan

Dan
Tunduknya bukan mengalah
Bisunya bukan kerana kalah
Tapi berserah hanya padaNYA..

No comments:

Post a Comment