Wednesday, December 23, 2015

Bisu Vs Lantang





Idea:Dari Langit
Penulis:N.K

Kayuhannya perlahan bagai menikmati tiupan angin yang melentok damai bersama senyuman yang bagaikan tak kan pudar.
_____________________

"Sorang hari ni?"

Tongkat ditarik turun, menyeimbangkan basikal tua agar mampu tegak sendirian. Kepala mengangguk dalam senyuman.

"Eh, hidup lagi budak tak siuman nih!" Selantang suara yang kedengaran, matanya bulat terjegil bagai memastikan dunia melihat apa yang dilihatnya.

Kepala ditunduk. Rapat ke tanah. Langkah disusun perlahan menuju ke celahan rak agar bingit itu tak lagi kedengaran. Agar pandangan sinis itu tak lagi tertayang dikornea mata.

"Ni je semua?"

Kepala dibawa naik ke atas sebelum ditarik turun ke bawah. Dan bibir masih tegun dengan senyuman.

"Lima belas ringgit dua puluh sen."

Wang kertas dicelahan dompet kain yang sederhana kecil ditarik dan dihulur cermat. "Terima kasih Pak Mail."

"Pandai bercakap rupanya si tak siuman ni! Ingatkan pekak bisu." Ketawa yang datangnya dari pelbagai tone suara, bersatu memecah ruang udara.

Langkah kembali disusun. Menuju basikal tua yang masih lagi tertegak utuh dibawah mentari.

"Berapa Mail?" Intonasi suaranya tetap nyaring sebagaimana dia ketawa hatta memerli sinis.

Plastik ditangan disangkut dipemegang yang dah kian luntur warna asalnya.

"Alaa tak boleh kurang ke Mail? Aku tak cukup duit bulan ni. Laki aku tak berapa nak bertuah!"

"Dah banyak bulan asyik masuk buku 555 Jah oii!" Kaca mata yang melurut ke batang hidung ditolak jari telunjuk.

Badan dipusing. Langkah disusun.

Wang kertas biru yang diselit dicelah genggaman jemari menerbitkan garis didahi tanpa sempat bibir dibuka luas untuk melontar kata.

"Rezeki Mak Jah dari Dia, untuk segala penat lelah Mak Jah. Menebar segala kudrat yang ada asal untuk sesuap nasi anak anak dirumah."

"Kau menung ape Jah oii? Nak bayar ke tidak?"

Waras kembali ke akal. Wang kertas masih kejap digenggaman. Bukan mimpi! Susuk tubuh bersama basikal tuanya tak lagi kelihatan. Genangan air mata dihujung alis dikesat hujung baju. 'Allah..'

Aku selalu lantang 'menyapa' dia
Dan dia tetap tersenyum
Bagai berjalan didunia yang hanya miliknya
Entah jenaka apa yang menggeletek dia selalu tersenyum
Sering membuat aku menjeling cemburu!

Dan ketika dia mampu membalas laku ku
Tetap dia pilih untuk tunduk dalam senyuman seperti kebiasaannya
Menghulur dalam bisikan
Yang hanya telinga ku mendengar bait katanya
Dan siapa yang sebenarnya tak siuman?
Melainkan aku..
Si sombong yang lantang mendabik
Tetapi hakikatnya papa kedana!
Miskin budi apatah lagi harta
_____________________________
Dia mengayuh basikal pada jalan yang sama dalam emosi yang berbeza. Tapi tetap bersama senyuman. Kerana dia tahu yang dilangit selalu Memandang.

No comments:

Post a Comment