Saturday, October 10, 2015

Yang Terindah






Dalam tenang yang sesekali
Membuatkan dada berombak kencang
Bibirnya lumpuh dari carik
Untuk tersenyum hatta mencebik

Ketika damainya malam yang mengulit
KAU jagakan aku untuk dia
Kerana KAU tahu masanya makin menghampiri
KAU berikan aku waktu
Untuk melakar kenangan bersamanya
Agar aku teguh untuk menjalani hari
Dalam kerinduan yang pasti sesekali 
Akan membuatkan aku lumpuh
Merindukan mu yang jauh..

Dalam bicara mu yang tenggelam
Membingungkan aku dalam kata 
Kala segalanya tak mampu dicerna dek akal waras
Sedang DIA tengah memberi petunjuk
Yang kau kan pergi
Pergi yang tak kan kembali
Meninggalkan aku sendiri..

Dalam celik yang mengayuh mu kepenatan
Kau meminta aku memeluk mu 
Seolah aku tak kan lagi merasa kehangatan pelukan mu
Tika kau tahu jasad mu bakal terbujur kaku
Hanya dapat aku renung dari kejauhan..

Rasa yang bergaul
Membuat aku kalah dalam air mata
Tika aku ingin sekali menjadi teguh untuk mu
Dan kau memandang ku kasih
Meminta ku jangan bersedih
Seolah kau hanya pergi untuk bercuti
Padahal kau tahu kau bakal pulang ke daerah asing
Yang telah dijanjikanNya; pasti

Tika hati berperang
Kau ku bisik agar jangan mengalah
Namun hati menangis agar kau pergi
Agar kesakitan itu tak lagi singgah dijasadmu
Kerana mata mu terzahir penuh dengan kepenatan
Yang membuatkan aku redha untuk melepaskan
Rehatlah sayangku
Kerana telah lama kau berjuang
Dalam hebatnya emosi 
Yang tak pernah terpeta diwajah mu

Ketika larian garis mesin hanya mendatar
Aku menangis
Saat ku tahu
DIA telah menjemput mu pulang kembali padaNYA
Setelah lama kau kami persia
Setelah lama kau memberi tanpa mengharap balas
Setelah lama kau nanti
Kasih insan yang kau sayang
Yang akhirnya jua tak berbalas..

Ketika kaki melangkah
Meninggalkan ruang yang sekali lagi
Membawa orang yang aku sayangi pergi
Langit yang cerah 
Perlahan diliputi awan mendung
Mendakap ku dalam kerinduan yang dalam
Tuhan kuatkan aku..

Kerana kasih mu tak berbalas
Kau pilih untuk memaafkan
Kerana kau tak sempurna
Kau pilih untuk memberi
Walau sering kau disakiti
Kau tetap mencintai..

Selebat air mata gugur dihati
Hujan mencurah membasahi bumi
Menyambut kepulangan mu penuh indah
Tika hentian nafas mu bagaikan tidur yang lena
Membuatkan aku cemburu
Kerana aku tak pasti
Bagaimana pengakhiran untukku nanti..

Kerana DIA telah menanti mu
Hujan bagaikan mengerti
Lalu tak lagi turun membasahi bumi
Dan kau selamat dikebumi
Dari tanah
Pulang ke tanah..

Kerana kasih mu untukku yang tiada jemu dan tak mati
Terima kasih sayang kerana menyayangi aku seadanya
Moga Tuhan ku, KAU redha ke atasnya
Moga kita kan bertemu diSana nanti
Moga Allah mencintai ku sepertimana DIA mencintai mu
Berehatlah insan yang DIA sayangi
Dan doakan perjalanan ku menuju DIA
Agar kita dapat kembali bersua..




Al-Fatihah kesayangan hatiku,
1450:Jumaat:25 Dhu'lHijjah1436AH
WG

No comments:

Post a Comment