Sunday, October 11, 2015

Katakan Yang Benar





“Katakan yang BENAR walau dalam kebenaran itu ada kepahitannya.”


Tidak adil bagi seorang ayah memaksa anaknya bersolat lima waktu jika solatnya sendiri masih belum cukup. Itulah kiasan yang menjadi kunci yang perlu dipegang oleh para penyebar agama ALLAH swt; sentiasa berkata apa yang dibuatnya.

Sekiranya setiap umat Islam tidak mengambil berat dengan ibadah diri sendiri, sekadar menyebarkan dakwah siang dan malam, akhirnya agama itu akan jatuh.

“Orang orang  yang tidak pernah langsung beribadat malam, tidak layak untuk bercakap dakwah.”

                                                   [Tuan Guru Syeikh Ibrahim]

Penulis bukan bertujuan menyekat usaha dakwah, malah amat berterima kasih kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia yang sentiasa berdakwah ke arah agama ALLAH swt dengan cara masing masing. Namun, bekalan pada diri sendiri juga perlu kita siapkan.

Rasulullah SAW sendiri sewaktu ingin menghantar Muaz bin Jabal untuk mengajar di Yaman, baginda menyoal selidik tentang latar belakang ilmu Muaz bin Jabal terlebih dahulu.

“…dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) ALLAH tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan.”
                                                                                                [31:20]

Formula utama kejayaan dakwah Rasullullah SAW; pertama, pendidikan ilmu secara langsung yang diperoleh dari ALLAH swt melalui perantaraan Malaikat Jibril. Kedua sifat serta peribadi baginda itu sendiri yang amat mulia. Apa yang baginda perintahkan, baginda juga lakukan. Apa yang baginda larang, baginda sendiri tidak lakukan.

Hari ini, orang bukan Islam makin jauh dengan Islam adalah kerana sifat kita yang banyak memperkatakan Islam, tetapi amat sedikit sekali menghidupkannya. Orang lebih mengenali Islam melalui nama yang ada pada kita, bukan amalan kita. Orang mengenali sesebuah pertubuhan Islam kerana nama Islamnya, bukan aktiviti yang direncanakannya. Orang mengenali Negara Islam kerana ia tertulis di perlembagaannya, bukan kerana penghayatannya.

Kerana itu Nabi bersabda;

“Daripada Ali bin Abi Talbi r.a berkata, telah bersabda Rasulullah SAW, “Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya dan tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat jahat makhluk yang ada dibawah kolong (naungan) langit. Dari mereka, berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah ini akan kembali.
                                                                        [Hadis Riwayat Baihaqi]

statistik menunjukkan rata rata orang bukan Islam yang memeluk Islam di seluruh dunia pada hari ini adalah kerana membaca al-Quran terjemahan, terdengar azan, perkahwinan dsbgnya. Yang menyedihkan, tidak ramai di antara mereka yang berlapang dada tertarik hati memeluk Islam kerana terpesona dengan akhlak dan budaya ilmu umat Islam itu sendiri. Seorang profesor dari barat yang baru memeluk Islam menegaskan, andai orang bukan Islam menyandarkan Islam itu kepada tabiat serta akhlak orang Islam kini, pasti mereka tidak akan memeluk Islam.

Ayuh tambahkan ilmu didada, tingkatkan amalan dijiwa, supaya kelak kita tidak dipersendakan, agama kita tidak dipandang sebelah mata. Teruskan tradisi dakwah, tingkatkan prestasi ukhuwah, mantapkan saf atas dan bawah, insyaAllah Islam tidak akan kalah.

Petikan dari:
Khutbah Terakhir Rasulullah
Ibnu Rijal



xxxxxxx

Menyampai
Dalam kata kata
Hatta sekadar coretan tulisan
Tak semudah saat jejari berlari di dada keyboard
Dan tak semudah lantuan suara yang bergema

Menulis
Tak semudah apa yang akal fahami
Tak semudah kehendak hati yang mengingini
Kerana menyampai tanpa laku yang mengikuti
Bagaikan pohon yang ditanam namun tak dibaja
Perlahan kan mati
Lalu menyembah ke bumi

Pada bait ayat ayat yang bersimpul
Menjadi susunan yang cantik
Aku di uji
Dengan kepahitan disebaliknya

Saat DIA menginginkan aku memahami
Aku terhenyak pada baris kata yang aku tulis
Kala DIA bentangkan rangkaian kata yang aku simpul
Di hari yang aku lalui
Aku tersungkur rebah menangis sendiri
Memaksa aku membawa kaki ke daerah sunyi
Mencari secangkir harga diri
Agar aku tak lagi menjadi si pencuri
Menulis tanpa aku sendiri melakukannya..

Dan sungguh
Khilaf itu bagaikan Rahmat
Dari DIA Yang Maha Memberi
Kerana disebaliknya
Terkandung Cinta Tulus Illahi

Terima kasih Tuhan
Mendewasakan aku dalam pahitnya rencah kehidupan
Kala disebalik kepahitan itu
Aku dapat menghirup nikmat kemanisannya

Dan kerana Kasih dan Cinta MU
Yang menjadikan aku teguh berdiri saat ini..
Terima kasih Tuhan ku..


©Dazz




No comments:

Post a Comment