Friday, December 21, 2012

Kerinduan Dalam Sungkuran




Di jejak debu dosa yang ku lakar
langkah ku noktahkan
lelah yang merantai seolah tak terhela
dek dosa yang makin hari makin membukit

Pada jalanan yang ku susuri
sungguh aku sesat dalam terang
helaan nafas yang sia-sia
langkah yang dipenuhi dedebu dosa

Mata ku pejam rapat
mencari DIA yang kian tenggelam disudut hati
menggali cebisan keinsafan semalam
sungguh hambaMU ini tak pernah sunyi dari palitan dosa-dosa

Jiwa ku tenat
Fizikal ku lelah
Akal ku resah
Namun Ya Rabb...
ku tahu ini bukan sekadar 'kepahitan' yang singgah
kerana 'kemanisannya' menanti ku pasti..

Dalam air mata yang terhempas
Seraut wajah sirna itu menjengah
Pemilik kudrat yang tak pernah lelah,
berjuang dijejak takdir kehidupan..
Pemilik wajah yang penuh ketenangan,
tak kenal putus asa dalam mentarbiyyah..
Pemilik jiwa yang kental,
tak pernah rebah dilautan cerca dan tohmah..

Duhai sang murabbi
kekosongan yang kau tinggalkan
tak mampu lagi terisi
Lorongan jejak-jejakmu
tak mampu lagi aku susuri
Ternyata bukan mudah berdiri dijejakmu...

Selamat berehat buat sang murabbi,
Ustaz Yahya Othman..
Demi Tuhan,
kami adalah saksi mata 
bagaimana gigihnya dirimu 
membina dan mengisi dada kami..

Al-Fatihah.


Dada langit ku tatap
sungguh penciptaannya bukan sia-sia..

Benar,
aku resah dihimpit dosa
Namun,
itu lumrah manusia yang hina dan alpa..

Andai kesakitan ini
adalah mahar cintaMU Ya Rabbi
teguhkan aku walau berulang kali rebah
kuatkan aku walau bernafas dalam lelah
Kerana ku yakin
Syurga itu dihuni oleh sang tabah dan sang teguh..

Illahi..
Jangan pernah jemu mendengar tangisku
Jangan pernah muak menerima kehadiranku di pangkuanMU
Jangan pernah tinggalkan aku meniti jejak takdirku sendirian..
Sesungguhnya hidup matiku kerana Mu Ya Allah..


Dazz
211212:0110

No comments:

Post a Comment