Monday, October 1, 2012

Catatan Jejari Tua~







Anakku
Seandainya kau tahu
Saat dikhabarkan janinmu dirahimku
Akulah wanita yang paling bahagia didunia ini..

Anakku
Saatnya denyutan nadimu berlari seirama denganku
Jerih dan penat yang menyelubungi terus luput dari lipatan memoriku..

Anakku
Saatnya retina mata ini melihat Agungnya kuasaNYA pada gerakan kecilmu
Lafaz syukur tiada henti berlagu disudut hatiku..

Anakku
Melihatmu bertatih dan terjatuh
Serasa kerdilnya aku diberi kemuliaan sebesar ini olehNYA
Lantas pada simpuhan doa
ku lafazkan ikrar
akan ku didikmu
akan ku penuhi dadamu
dengan keAgungan kalamNYA
sebagaimana DIA memilihku menjaga amanahNYA
akan ku jagamu sekudratku..

Anakku
Inginku bina mahligai bahagia buatmu
Inginku hamparkan kesenangan buatmu dalam meniti hari
Agar pautan memori mu penuh warna ceria
Agar hatimu penuh rasa bahagia
Namun anakku
Aku memilih pondok yang gahnya hanya sederhana
Aku memilih hamparan yang cukup untuk dibuat alas
Kerana anakku
Aku bimbang dengan mahligai megah itu kau kan alpa dan sombong
Aku bimbang dengan hamparan itu kau kan diulit lena dan mimpi yang palsu
tak berkesudahan
Betapa hati ini bimbang..
Bimbang sekali masa depan mu tergadai dengan hanya palitan warna warni pada hiasan hitam putih yang pastikan luntur saat badai hujan menimpa..

Anakku
Mengertilah
Pada keras izinku
Pada lantang garisan yang ku tekuni
Pada bingitnya ketegasan ku lontarkan
Pada kesederhanaan yang aku batasi
Bukan kerana aku mengongkong
Tidak juga kerana aku ‘kolot’
Jauh sekali kerana aku benci
Tapi kerana aku berharap
Dewasanya engkau
Punya kekuatan jiwa
Punyai maruah..

Anakku
Kekuatan jiwa tidak datang dengan belaian manja
Kekuatan jiwa tidak datang tanpa titisan air mata
Kekuatan jiwa tidak datang tanpa badainya ujian
Kekuatan jiwa tidak datang dalam riuhnya bahagia dan gelak tawa
Kerana kekuatan jiwa itu lahirnya dari hati yang sahabatnya ‘sang jerih’
Kekuatan jiwa itu lahirnya dari hati yang sentiasa ‘basah’
Kekuatan jiwa itu lahirnya dari hati yang tersenyum tika lainnya menangis
Kekuatan jiwa itu lahir dari Iman yang dibaja subur dan mekar bercambah hari ke hari..

Anakku
Saat kau meningkat dewasa
Saat kau mengenal dunia
Saat kau punya teman
Aku kau pinggir tak berendah..

Anakku
Dalam lantangnya lontaran suaramu
kau meluah
rasa hati yang kau kumpul lalu menjadi bara amarah
Tanpa segan
Tanpa silu
Aku menjadi bahan ejekanmu dan teman-temanmu
dan kau ternyata puas..

Anakku
Saat itu aku hanya mengukir senyuman
Bukan kerana aku mengumpul kesabaran
Tapi kerana akulah wanita yang terluka..

Namun anakku
Usah kau bimbang
Aku telah lama pasrah
Tanpa kesal dan lelah
Kerana pada jalananmu telah ku hamparkan selayaknya janjiku padaNYA
Dan DIAlah yang menjadi saksinya..

Dan kini dalam kewarasan akal dewasamu
Kau memilih jalananmu
Dengan menolak aku bagai hampas yang tak lagi berguna
Kerana prinsip ‘intelektual’ yang kau julang
Kerana prinsip ‘world wide world’ yang kau kiblatkan
Dan aku memilih tetap setia disisimu
walau berulang kali hadirku kau tolak amarah..

Anakku
Saatnya aku membentangkan kitab lusuh yang pernah menemani hari-harimu dulu
kau ketawa kelucuan
Bagai aku sedang mendodoikan mu dengan hikayat Pak Kaduk..
Kata-katamu yang kau lafaz terpahat kukuh dimemori tua ini
Kata-kata yang membunuh ku perlahan-lahan..
‘Ah, semua ni kolot la Bu! Zaman dah maju. Orang dah tak pakai ni dah..’
Dan bagaikan kepingan kaca yang pecah
hatiku hancur lumat
tak terperi..

Anakku
Walau dimamah zaman
Walau bumi terbelah dua
Walau tsunami membadai
Kitab ini tak kan pernah lapuk dizaman!
Moga kerasnya suaraku dipuput telingamu
Mampu menjagakan kau saatnya DIA datang melabuhkan sayap kemaafanya buatmu
Dan saat itu aku nanti 
p
enuh harap…


Anakku

Punyai maruah bukan sekadar luaran


Kerana maharnya tinggi tak terletak dan tak mampu dipijak

Melainkan kau yang menyerah dan merelakannya..

Anakku
Pada semaian kasih Kitab AgungNYA
Yang aku dendangkan padamu saat kau dipangkuanku
Bukan kerana aku punya cita-cita lahirmu sebagai hafiz dan hafizah
Bukan kerana aku punya cita-cita lahirmu sebagai qari’ dan qariah’
Tapi kerana..
Saatnya kau terlempar jauh
Lena dan leka diulit fatarmogana duniawi
‘Teman Sejati’ mu itu yang akan kembali menuntunmu..

Anakku
Punyai maruah bukan pada besarnya rumah yang kau diami
Punyai maruah bukan pada tingginya pangkat yang kau jawat
Punyai maruah bukan pada ramainya yang tunduk hormat padamu
Kerana punyai maruah itu adalah
Saatnya kau sedar kaulah hambaNYA
Saatnya kau tunduk padaNYA yang SATU
Saatnya kau hidup dalam sebenar-benarnya syahadah yang kau lafazkan..

Anakku
Maruah itu ibarat kaca ditengah lautan api
Tak akan mampu diganggu gugat
Tak akan mampu di alih pijak
Dan saatnya kau sendiri yang mengalihkan kaca itu dari tempatnya
Maka kehancuranlah yang menanti
Tak tersisa
tanpa belas..

Anakku
Dunia bukan hanya dihuni dengan keseronokan dan gelak tawa
Dunia bukan untuk kepuasan yang tertegak diatas khianatnya sang nafsu
Dunia bukan ‘demonstrasi’ menegakkan suara remajamu
Kerana dunia dihuni hanyalah sekadar singgahsana sementara sebelum kau berangkat pulang ke kampung Mahsyar..

Anakku
Hidup bukan untuk memilih
Tapi untuk kau jalani dalam ketundukanmu sebagai hambaNYA..

Anakku
Dengan kudrat izinNYA
aku mencorakkanmu
Dan dengan izinNYA jua
kau kini diatas jalan pilihanmu..

Anakku
Mengertilah..
Biar dihujung nyawa
Doaku buatmu tak pernah terhenti
Sebagaimana nadimu pernah bersatu didalam nadiku
di setiap denyutannya 
doaku mengalir buatmu..

Anakku
Kelmarin tangan tua ini pernah membuatkan mu menangis
Semalam bibir tua ini pernah membuatkan hati mu terguris
Esok jasad tua ini pastikan membuatkan mu terbeban
Dan oleh kerana itu
Aku mendidik mu merentasi duka
dalam meraih kekuatan jiwa
kerana ku tahu saatnya aku membilang usiaku
kau pastikan mampu tersenyum menyambut ragam ku..
Saat aku merungut tak betah,
kau mampu mengulang bicara dalam usapan kasih
Saat aku tak lagi mampu mengingat,
kau mampu teguh menuntun tanpa iringan cerca keluh dan kesah
Saatnya kakiku tak lagi kuat,
kau mampu mencempungku dalam sabar walau kau penat
Dan saatnya ku kembali mengguris rasa hati mu
kerana aku lupa jasa yang kau hulur semalam
Kau mampu mengukirkan senyuman
menyatakan yang kau bahagia punyai aku sebagai ibumu
Kerana lahirnya kau punyai kekuatan jiwa..
Kerana lahirnya kau punyai maruah..

Anakku..
Maafkan aku Ibumu
yang tak pernah ingin memahami hati mudamu
yang tak pernah ingin memenuhi permintaanmu
yang tak pernah ingin ‘membahagiakan’mu..
kerana inilah anyaman dan acuan kasih dan cintaku padamu…
Dan aku tahu
Kau pastikan memahaminya satu saat nanti..
Detik itu pasti kan tiba dengan izinMU Ya Rabbi..

Anakku..
Inilah nadi cinta seorang wanita yang kau panggil Ibu…

Catatan jejari tua,
Wanita yang bernama Ibu..



Nukilan,
Dazz:092012

P.s: Moga 'dia' kuat. Moga masih belum terlambat untuk 'dia' gapai sinar mentari itu. Moga 'dia' mampu menjadi kisah yang paling bahagia buatmu wanita yang bernama Ibu..
Dan moga kisah ini menjadi pedoman buat kita.




~Kadang-kadang dek kerana hati yang dipenuhi marah dan benci yang melahirkan dendam, kita terbuta oleh ego yang meliputi kasih bernama sayang. Namun usah bersedih atas lipatan kenangan semalam, kerana telah DIA rencanakan yang terbaik buat kita. Bangunlah hari ini untuk berjuang selagi ada kesempatan. Kerana hempasan luka dari sungkuran semalam adalah guru yang sangat mendidik walau hadirnya tak bersuara~

Be positive. Be strong. Believe HIM. InsyaAllah you will find your rainbow soon:) 
Barakallah. May Allah swt guide and bless us. Ameen~


No comments:

Post a Comment