Saturday, September 22, 2012

Tinta Pejuang



Berjuang dalam jalanan kehidupan itu fitrah
Perjalanan kembara yang pasti diuji
Kelekaan dan dosa
Kebangkitan dan fitnah
Taubat dan air mata
Demi cinta, hidup dan barzakh

Pejuang adalah berjuang
Jatuh dan bangun
Dikelar trauma dan duka perasaan
Hanyalah secebis tusukan yang singgah
Lakaran hitam putih kanvas kehidupan

Berjuang bukan lafaz
Laras gerakan anggota dalam kalimah AgungNYA
Bisikan jihad dalam godaan duniawi
Alunan zikir dalam kerapuhan hati
Teguhan langkah dalam lautan prasangka
Pekakan telinga dalam lontaran nista
Tertegaknya benteng keikhlasan akidah demi kejayaan
Jitu sang hati bukan kerana menang atau dijulang
Melainkan Lillahi ta'ala

Pejuang dan lumuran darah
Bagai sang nyawa dengan Tuhannya
Jalanan lakaran sebuah kisah
Tentang air mata dalam pengharapan
Tentang doa dalam ketundukan
Tentang keinsafan dalam kelekaan
Tentang syukur dalam tenatnya kehidupan
Tentang alam dan Sang PenciptaNYA
Tentang hidup dan barzakh
Tentang perhitungan dan amalan
Tentang syurga dan neraka
Tentang hamba dan TuhanNYA

Pejuang dalam jihad dan nafsu itu ujian
Laras liku yang menguji keteguhan Iman
Laras liku yang menentukan syurga dan neraka
Taruhannya dunia
Dalam ganjaran syurga yang abadi

Tegap, Teguh, Kental, Kuasa, Kekayaan
Bukanlah ukuran sang pejuang
Air mata dalam ketundukan adalah pancaran kehebatannya
Gahnya semarak jihad berkiblatkan Allah Az Wajala
Landasan yang hakiki
Tertegaknya iman yang utuh
Lahirnya dari hati yang zuhud

Pejuang
Hatinya hidup dalam zikruallah
Matanya celik dalam kalamuallah
Telinganya jaga pada seruan Ilahnya
Bibirnya sibuk dalam seruan jihad
Tangannya tangkas menghulur pada yang Haq
Kakinya tegak berjalan pada sang Amanah
Dalam kepekatan malam
Dia pulang ke riba Rabbnya
Tunduk penuh hina
Mengharap PimpinanNYA
Mengharap KeampunanNYA
Mengharap CintaNYA
Dalam jalanan juang yang masih tak berpenghujung


~Medan jihad itu tak pernah sunyi dari suara tangisan. Sebagaimana hati pejuang yang tak pernah sunyi dari godaan dan pujuk rayu yang menagih. Kebinasaan yang menanti. Pulanglah padaNYA. Carilah kekuatan dan pasakkan diri hanya padaNYA. Sesungguhnya DIA Maha Berkuasa memelihara dan meneguhkan hati-hati yang lalai.~


Dazz
Sept 2012

No comments:

Post a Comment