Thursday, March 1, 2012

Selimut Kasih

“Anak yang akan memanjangkan doa selepas matimu bukan semestinya anak yang selalu pulang, andai pulangnya membawa dosa…” -Hasrizal Abdul Jamil-

Lama aku terpaku dibait kata ini. Cuba mencerna maksud yang tersurat dan tersirat dibaliknya.

Nafas ku hela. Bait-bait kata itu ku ulang baca. Cukup perlahan…meresap jauh ke tangkai hati. Bersama deru angin malam yang berpuput, mutiara putih laju menuruni lekuk pipi, menyelak lembaran semalam…

            “Zafrul!”

Masih lagi lena dibaluti selimut tebal.

            “Zafrul, bangun. Dah subuh nak oii!”

Selimut tebal berwarna merah hati yang melurut ke dada ditarik menutupi kepala.

*********
            “Dah bangun?”

Kerusi ditarik malas.

            “Pagi tadi kamu bangun solat tak?”

Kepala diangguk acuh. Tangan ligat mencedok mee goreng ke dalam pinggan.

Susuk tua itu menarik nafas panjang. Kerusi coklat yang berhadapan dengan si anak ditarik. “Mak tengok tiap-tiap kali kamu balik cuti, perangai kamu tak berubah-ubah. Solat liat sangat…”

Kepala diangkat dari pinggan. “Mak ni kenapa? Asal orang nak makan jer membebel! Tak selera la!” Kerusi ditolak kasar. Mee goreng yang masih berbaki ditinggalkan.

Langkah si anak dipandang. Tubir mata yang basah dikesat dengan hujung lengan bajunya.

***********
            “Munah oh Munah…”

Api dapur dimatikan. “Ya bang.” Kaki pantas melangkah mendapatkan si suami.

            “Awak buat ape kat si Zafrul tu?” Peluh didahi dikesat dengan tuala putih yang tersangkut elok ditengkuknya.

            “Buat apanya Abang Majid oii?” Keut didahi mula kelihatan.

            “Katanya awak tak habis-habis dok membebel. Budak tu baru je balik cuti. Apa yang kamu tak puas hatinya Munah oii…”

            “Saya tegur perangai dia tu. Solat payah benor..!”

            “Awak ni tak sudah-sudah. Karang budak tu tak balik-balik lagi baru tahu!”

Susuk belakang sang suami yang mula berlalu dipandang sayu. ‘Andai pulangnya membawa dosa, biarlah dia jauh bang..kala itu yang akan membuatkan dia memanjangkan doanya buat kita dibarzakh nanti…’

*********

Kenangan itu pahit untuk dikenang. Namun, jika kepahitan itu dapat menghadiahkan kemanisan dipenghujungnya, kenapa harus ianya dibuang…

Titisan jernih yang menodai pipi, ku sapu. Saatnya lembaran baru harus ku selak. Dengan campakan keinsafan dariNYA, kaki tegak menyusun langkah.

Dalam sujud, hati hina berbisik penuh pengharapan. ‘Tuhan dalam episod hidupku, sujudku bak kilat. Tergesa. Entah apa yang ku kejar pada dunia palsu ini.. Dalam selimut hidayahMU, izinkan aku sujud penuh ikhlas keranaMU..moga kekeruhan yang penuh dengan kesombongan disudut hati ini kan terkikir dengan Kebesaran dan keAgunganMU Ya Rabbi..’

Naskah merah hati itu ku capai. Ku usap penuh rindu. Seakan raut Mak yang ku usap kasih..

            “Bismillahhirahmanirahim…”

Mutiara putih laju menuruni lekuk pipi.

            “Yassin…” ‘Mak..maafkan Zafrul…’

            “Walquranilhakim…” Demi al-Qur’an yang penuh hikmah.

‘Betapa aku buta pada anugerah indahMU ini Ya Tuhan…’

Ibu…
Pada katamu
Sering aku melenting tak berpangkal..
Bukan kerana ku muak pada suara lunakmu
Tapi demi menegakkan sebuah ego, menutup salahku!

Ibu…
Pada nasihatmu
Sering aku meningkah suara
Berpaling bagai tak endah
Dek berang dengan gerak hatimu yang sering mengerti khilafku..
Amarah dengan nasihatmu yang mengugat egoku..

“Ya Allah, pada simpuhana sujudku, maafkan kesalahanku..ampuni dosa-dosaku, maafkan kejahilanku, terimalah taubatku Ya Illahi…”

‘Moga masih ada kesempatan itu..untuk ku ketuk pintu taubatMU Ya Rabbi…’

*******
            “Assalamuallaikum…”

            “Waalaikumusa…”

Susuk tua yang kaku dimuka pintu dipeluk erat.

Ibu..
Maafkan diri ini yang penuh dengan noda dosa semalam..
Ampunkan keterlanjuran bicaraku yang sering menguris hati tuamu..
Kemaafanmu aku pohon..

‘Syukur padaMu Ya Rabbi…’ Bahu si anak yang terhinjut ditepuk kasih. “Mak sentiasa maafkan Zaf…”

Getar didada seakan tak terbendung. Sendu tak lagi tertahan. ‘Kasihnya ibu, tiada tandingannya…’

Dalam air mata kasih, dua hati bersatu dengan cintaNYA. Dalam khilaf semalam, kemaafan bak salju yang menyiram indah. Dalam rebah, kebangkitan adalah perjuangan…

‘Moga Engkau pelihara hati-hati lemah ini Ya Rabbi. Tautkan kami hanya pada taliMU. Sesungguhnya PimpinanMU kami damba…’

Raut tua itu ditatap penuh kasih. Seakan enggan terlepas pandang walau sesaat…

Ibu..
Saat detik itu tiba..
Kan ku suburkan kamarmu dengan alunan puisiNYA..
Kan ku terangi kamarmu dengan tadahan doaku..
Moga dipersinggahan barzakhmu penuh indah…

‘Terima kasih Ya Allah…’
********

~Anak yang doanya didengar Tuhan,bukan semestinya anak yang pulang dengan hilai tawa kegembiraan..andai ketawa itu hanya menjauhkan keluarga daripadaNYA..~
                                                                                                  -Hasrizal Abdul Jamil-



Dazz
250212

Credit to: saifulislam.com

No comments:

Post a Comment