Monday, February 27, 2012

Di Batasan Kasih





Kata bahagia
Mengundang banyak titis jernih
Mengundang berjuta garit senyuman
Persepsi yang berbeza…

Teman…
Pada mutiara jernih yang mengalir mulus dipipinya
Jangan disangka dia derita…
Di sebalik air mata itu
Terkandung berjuta cerita
Terkumpul beribu rasa…

Dan saat dia tersenyum
Jangan disangka itu senyuman bahagia
Sedang dia hampir rebah dilautan sendu…
Mengertilah…
Pada senyuman itu
Dia berusaha mengusir derita menjauh
Dia berusaha memujuk hati yang pilu
Kerana dia tahu
Disebalik kepahitan pasti kan hadir kemanisan yang indah…

Teman…
Benar…saat tangisan itu menghias disudut pipinya
Hati kita jua terusik pilu…
Benar…saat senyumannya menghias indah
Bibir kita jua tersenyum bahagia…

Tapi teman…
Jalanan takdir kita berbeza
Sepertimana lahirnya kita ke dunia…
Walau sederas ombak kita bermadah
Walau setempayan kita mencurah nasihat
Tetap hanya dia yang merasa ‘kesakitan’ itu…

Teman…
Pada deritanya
Hati tak betah tinggal diam
Lantas bibir mula bersuara
Kononnya menuntut keadialan buatnya
Sedang dia tak pernah merungut
Sabar sekali dengan senyuman yang tak lekang dihujung bibir
Setia selagi mana dia masih terikat
Kerana bahagia itu baginya bukan pada senyuman tapi pada keredhaanNYA…
Betapa dia bahagia dalam takdirnya duhai teman…
Jangan kau cebik pada ketenangannya
Jangan kau cemuh pada diamnya
Jangan kau sirami api dalam kesabarannya
Jangan sesekali kau pandang rendah padanya
Ketahuilah dialah sebenar-benarnya wanita hebat selayaknya Asiah yang bermaharkan Imannya pada sang suami yang terang-terang kekufuran mengaku dirinya Tuhan…

Teman…
Saat tubirnya tak mampu lagi diseka
Peluklah dia dengan sepenuh kasihmu…
Tak perlu ungkapan kata-kata madah
Tak perlu bersuara memujuk
Cukup doa tulusmu disudut hati
Itulah sebenarnya yang dia perlukan…

Teman…
Saat dia tersenyum indah
Merawat cebisan luka yang tertoreh
Usah kau tambah deritanya dengan kisah indahmu..
Tersenyumlah penuh ikhlas
Genggamlah tangannya agar dia tahu kau sentiasa disisi…
Moga dia kuat untuk terus melangkah…
Itulah sebenar-benarnya teman…
Bukan hanya hadir tika tawa
Bukan jua hanya penambah sakit yang ada
Bukan jua pemanas sulit yang terbentang
Tapi sentiasa menjadi tugu kala dia hampir rebah
Sentiasa menjadi pendengar kala air matanya bercerita sendu
Sentiasa mendoakannya tanpa mengharap balas…

Kadang tanpa kita sedari
Saat bibir berbicara indah
Banyak hati yang menangis sendu…
Berpadalah dalam meluah
Bukan bererti salah
Cuma menjaga hati yang kerap terluka parah
Bimbang mereka berpaling dari langkah
Menyerah tanpa mujahadah…


Manusia…
Tak semua lahirnya penuh bahagia
Namun tak bererti mereka iri
Sentiasalah bersangka baik
Menghulur tanpa mengharap balas
Mendoakan dengan penuh ikhlas…

Dazz
0321


No comments:

Post a Comment