Thursday, August 25, 2011

Mutiara Kata~


Tuesday, August 23, 2011

Menggapai 'SOLEHAH'



Kita berpakaian untuk melindungi tubuh, untuk nampak lebih berketerampilan, juga sebagai melaksanakan sunnah yang dianjurkan Islam. 

Namun tidak semua konsep berpakaian menepati syariat, malah ada ketikanya ia mendatangkan ‘bala’ pula kepada kita. Ini sama seperti pesan Rasulullah lewat hadis baginda; Daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Ada dua macam penghuni neraka yang kedua-duanya belum kelihatan olehku. 

Pertama, kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang lain. 

Kedua, wanita yang berpakaian tetapi sama seperti telanjang (kerana pakaiannya tidak menutup aurat, nipis dan mendedahkan bahagian yang tidak sepatutnya dilihat bukan muhrim) dan wanita yang mudah dirayu dan juga suka merayu. Wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang sangat jauh.” (Sahih Muslim) 

Salah satu budaya malang yang menimpa wanita Islam dewasa kini ialah budaya berpakaian tetapi telanjang. Kebanyakan wanita hari ini berpakaian mengikut fesyen walaupun ada sesetengah fesyen yang dikenakan amat bertentangan dengan syariat Islam. Ada sesetengah wanita pula menyangkakan bahawa dengan bertudung, mereka sudah menutup aurat, sedangkan apa yang mereka sarungkan di tubuh badan mereka hanyalah pakaian yang nipis melayang ataupun yang ketat dan sendat seperti nangka dibalut dan nampakkan segala-galanya. Ada juga yang menenakan tudung tetapi menampakkan lengan (short sleeve). Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Aisyah r.a. bahawa ketika Asma’ binti Abu Bakar r.a. bertemu dengan Rasulullah SAW, ketika itu Asma’ sedang mengenakan pakaian tipis, lalu Rasulullah SAW memalingkan muka seraya bersabda, “Wahai Asma’! Sesungguhnya, jika seorang wanita sudah sampai masa haid, maka tidak layak lagi bagi dirinya menampakkannya, kecuali ini ...” (baginda mengisyaratkan pada muka dan tangannya). Kenapa wajib menutup aurat? Jawapannya ada dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah al-Ahzab [033], ayat 59) Dalam urusan berdandan atau berhias-hiasan bagi golongan isteri juga haruslah dilakukan menepati syariat seperti mendapat izin suami terlebih dahulu. Ini ditegaskan Rasulullah SAW seperti yang diceritakan daripada Asma Abu Bakar mengenai seorang wanita yang datang bertanya kepada Rasulullah, “Saya mempunyai kemusykilan. Berdosakah kalau saya berdandan dengan harta suami yang belum diberikannya kepada saya?” Balas Rasulullah SAW, “Orang yang berdandan dengan apa yang belum diberikan suaminya, sama dengan memakai dua helai baju palsu (penuh dosa).” (Sahih Muslim)


“Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya” 

Selangkah anak perempuan keluar dari rumah tanpa menutup aurat, maka selangkah juga ayahnya itu hampir ke neraka. Selangkah seorang isteri keluar rumah tanpa
menutup aurat, maka selangkah juga suaminya itu hampir ke neraka. 
-H.r Bukhari dan Muslim-

Mengapa menempuh jalanan yang penuh liku, sedangkan jalanan yang luas dan lurus terbentang didepanmu~

Dazz-

Sunday, August 21, 2011

Duhai pendakwah~



Wahai pendakwah…
Diri ini sedar layaknya dimana harus berdiri…
Tuturku banyak yang sia-sia…
Hati daif tentang makrifat-Nya…
Iman senipis kulit bawang…sering kali goyah kala ujian menyapa…

Aku hanya insan da’ie…
Selalu hilang ditengah tenatnya dunia…
Buta dalam cerahnya siang…
Tuli dalam jelasnya pendengaraan…
Bingung dalam jaganya siang…

Wahai pendakwah…
Hati kecil ini kadang terpanggil untuk mendekat…
Jiwa seakan bergetar halus saat alunan syair merdu berkumandang…
Akal pantas merungkai kata, “Masihkah ada kesempatan itu…?”
Kaki seakan ingin berlari mendekat…
Namun jasad hitam berbisik pantas, “Layakkah dirimu…?”
Kepala melurut jatuh ke bumi, “Aku keliru…”

Saat senja nan merah menyapa…
Alunan syair itu kembali menyapa telinga…
Hati serasa sejuk bak disirami salju…
Aku melangkah cuba menghampiri…
Menyimpan resah, menolak malu…
Turuti kata hati yang menjerit nan meminta…

Kini aku terpaku…
Daerah yang ku redahi tersangatlah asing…
Sucinya tak terungkap dek mata…
Damainya tak ternikmat dek deria…
‘Subahanallah…Maha Agung Kuasa Mu Ya Allah s.w.t…’
Buat pertama kalinya bibirku tersenyum indah…
Sinar cerah melambai indah,
Menyapa hati yang telah lama kelam…

Namun…
Langit tak selalunya cerah…
Bintang tak selalunya bersinar terang…
Ternyata untuk meraih cinta-Nya payah…
Dan kini, pertengahan jalanku rebah…

Sungguh dunia sangat menakluk…
Pada megahnya dunia, cacian lantang bersuara…
Pada gemilangnya dunia, hinaan adalah lumrah…
Yang hina dicampak jauh ke lembah…
Yang khilaf tetap diprejudis salah…
Tiada ruang, tiada daya, tiada kesempatan…
untuk bangkit dari tenatnya dosa semalam…

Dalam kepayahaan mengawal sendu,
Kaki diheret menjauh walau hati menjerit marah…
Tempat itu takkan pernah jadi milikku…
Mengertilah wahai hati…

Dalam kebingungan, aku meniti hari…
Masih disini…tak bergoyang walau sedetik…
Pada nafsu hati melawan bicara…
Akankah aku menyerah atau terus bangkit berlari…?
Namun tiada yang ku temui…
Melainkan lorong yang kelam lagi suram…

Pada jasad, hati lantang menuntut jawapan…
“Begitu hinakah aku? Apakah khilafku tiada maafnya…?”
Oh diri…
Haruskah aku terus bersembunyi…
Menutup hinanya diri…
Menjauh dari tajamnya pandangan dan kata-kata…
Akankah ia menjanjikan sebuah ketenangan yang abadi…?

Hati seakan tak mengerti…
Enggan memahami walau berkali dimarahi…
Di daerah asing itu kaki kembali ternoktah.
Sekadar merenung dari kejauhan…
‘Ah! Hati ini memberontak lagi…’
Tak pernah jemu memujuk diri agar menghampiri…
Namun jasad kerdil ini tak mampu menuruti,
Tunduk ke bumi penuh hina…
Dalam kesyahduaan benak bertanya,
“Mengapa diri yang serba kekurangan dan jahil ini sering diamuk hina…?
 Apakah kejahilaan silamku tiada maafnya…?
 Apakah ruang taubat itu tak layak buatku...?
 Pada siapa harus ku paut saat hati mencari sinar keinsafaan…andai memandang jasad kerdil ini dirimu sudah mencebik pantas…”

Wahai pendakwah…
Pada siapa harus ku tunding amarah…?
Pada siapa harus ku jerit salah….?
Kerana sedari lahirnya aku ke dunia tak siapa yang peduli…
tak siapa yang mengerti…
tak siapa yang membimbing…
Lautan duniawi ku redahi berpasakkan kekuataan diri cuma…
tiada penyuluh…
tiada yang sudi menuntun…

wahai pendakwah…
lihatlah sekelilingmu…
amatilah dengan seluruh anggotamu…
ketahuilah…
tak semua orang beruntung sepertimu…
tak semua orang mampu meraih manisnya iman sepertimu…
Janganlah kau megah dengan kelebihanmu itu…

Dalam kepiluan yang mencengkam kaki dipaksa melangkah…
‘Ya Allah…tak terucap rasa yang mencengkam dadaku ini…’
Pada indahnya alam ciptaan-Mu…
Secebis ketenangan digapai…
Agar hati bisa merawat luka yang terlakar…
Moga ku temui jalan-Mu Ya Rabbi…

Wahai pendakwah…
Jangan kau amarah, andai ada yang mencebik ke arahmu…
Kerana kau sendiri yang palitkan kotoran itu pada wajahmu…
Jangan kau melenting saat tudung labuhmu hilang kehormataannya…
Kerana kau sendiri yang menodainya…
Malulah engkau pada egomu yang telah mengheret seluruh kerajaan dakwah dalam kamar hakim dunia!

Apa yang kau megah dengan ilmu didadamu,
Andai hanya bersuara lantang bila tergugat…
Apa yang kau megah pada pakaianmu,
Andai hatimu tak sudah megundang jengkel…
Apa yang kau juangkan pada jalan dakwahmu,
Andai dirimu sering memandang hina pada yang lain…
Bisa apakah kau mengharapkan dirimu dihormati…
Sedangkan seri hatimu terpancar nyata diraut wajahmu…
Tak perlu kau megah mendongak ke langit,
Hanya untuk bersuara nyaring!
Kerana jalan dakwah itu suci…
Bukan medan untuk kau pasakkan kemegahanmu…

Mengertilah...
aku bukan mengharapkan simpatimu...
tak juga menagih belas ihsanmu...
aku hanya ingin mengemis curahan ilmu didadamu,
agar bisa aku merasakan manisnya Iman sebelum kelopak mata terpejam rapat...

usah khuatir...
pada hatiku tiada dendam...
pada doaku tiada amarah...
ku sedar dirimu jua manusia yang selalu khilaf...
ambil la masa untuk kau renunginya kembali...
moga dapat kau kutip kembali kesucian nawaitumu pada jalanan dakwahmu...


Nukilan khas buat 'INSAN'
Dazz-


~Seseorang pendakwah, sebelum melangkahkan kakinya ke medan dakwah, terlebih dahulu hendaklah melengkapkan dirinya dengan sifat-sifat pendakwah muslim dan memahami jalan sebenar yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. Tanpa kefahaman yang jelas, maka pendakwah itu akan menghadapi kesukaran yang sepatutnya boleh dielakkan. 

Sifat-sifat pendakwah muslim yang perlu ada antaranya iaitu budi pekerti mulia, lurus perilakunya, sifat kepimpinan yang sihat, tekun dan penuh keazaman, berperasaan kesihan belas dan tegas, benar dan amanah, kecerdikan, beramal solih yang berkekalan, kesedaran, berupaya memberi penerangan, berupaya menyelesaikan masalah masyarakat serta dapat memhamami jiwa individu dan masyarakat. Disamping itu dapat memahami perasaan orang ramai dan mendapat kasih sayang, penghargaan dan penghormatan dari masyarakat terutama sekali dalam jurusan agama. 

Oleh itu kita sepatutnya meneliti metod dakwah yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w., diantaranya apa yang disebut dalam surah Yusof ayat 108, maksudnya : "Katakan olehmu (wahai Muhammad), inilah jalanku, yang aku dan mereka yang mengikutku menyeru ke jalan Allah dengan basirah dan Maha Suci Allah, dan tidaklah aku tergolong dari golongan musyirikin." "Basirah" menurut Dr. muhammad Fathullah badran membawa erti : "Ilmu yang luas, hujah-hujah yang kuat, pengetahuan hati, kesedaran, kefahaman yang dalam, memelihara hal keadaan orang yang didakwahkan dan menggunakan kata-kata yang jelas." Dan "salbi" (inilah jalanku) itu tidak lain melainkan jalan yang satu iaitu Islam yang padanya diberi panduan iaitu Al Quran dan al Hadis Rasulullah s.a.w. Ini dijelaskan oleh Allah sendiri dalam firmanNya surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud : "Dan bahawa inilah jalanku yang lurus maka hendaklah kamu sekalian mengikutinya dan janganlah engkau ikut jalan yang berbagai-bagai kelak ia memecah-belahkan kamu sekalian dari jalanNya.

Itulah pesanan buat para pendakwah sekalian, mudah-mudahan kamu bertaqwa."Walaupun nampak sukar, tetapi itulah
asas yang digariskan oleh baginda dalam penyebaran dakwah yang diikuti oleh para sahabat dan generasi kemudian. Maka sewajarnyalah ia menjadi azimat buat para daie terkemudian bagi meneruskan kerja-kerjamulia itu.~

Saturday, August 20, 2011

Air Mata Tarbiyah~




Pada lautan tarbiyah aku menangis kesyukuran…
Sendu yang sekian lama sepi, kini membuak penuh syahdu
Ternyata “Sesungguhnya, jika Allah s.w.t mencintai seorang hamba, maka DIA tenggelamkan hamba itu dalam cubaan…”

Ujian-Mu yang penuh sesak melemaskan aku…
Pada garangnya sinar mentari aku mengeluh pantas,
Pada pekatnya malam aku gelisah tak sudah…
Hati menjerit demi sejalur ruang damai yang didamba…
Kaki menyusun langkah,
lautan dunia yang penuh sesak diredahi,
pada sebuah pesta yang penuh bingit kaki terhenti,
ruangan kosong itu kini dipenuhi…
ternyata keseronokan itu bisa mendamaikan hati…
Ah, dengan wang segala-galanya mudah!...

Saatnya diri hilang dari puncak kegemilangan,
kawan jadi lawan…
yang dulunya manis, kini makin kelat…
diri terbuang seolah jijik lagi hina…
tak dipandang, bahkan dicampak jauh…
tak ubah seakan pengemis…

Diri dipaksa berdiri meneruskan sisa hari…
hati tak putus mencari akan damai yang hakiki…

Pada palsunya kasih bernama CINTA aku berpaut…
pada si dia luka dihati terawat,
pada si dia sepi yang menghiasi diri terisi,
pada si dia diri ini mengangumi,
pada si dia diri ini sering merindui,
pada si dia aku bergantung harap, untuk mengemudi jalanan yang bakal dihadapi…

Pada lautan kasih yang bersalut kepalsuan aku tenggelam…
diri yang sekian lama hanyut terus karam…
damai yang dicari langsung tak menyapa…

Ujian demi ujian silih berganti menjenguk diri,
butir-butir keluhan tak pernah putus dari ulas bibir,
dahan-dahan yang dipaut digenggam seeratnya,
mengharapkan padanya diri terus berdiri…
lupa yang mereka jua adalah milik-Nya…

Saat bibir tersenyum gembira,
hati kembali disapa duka…
sekelip mata kasih yang hadir hilang membawa diri…
CINTA yang dicurah seakan tak bernilai…
semudah pemadam rasa itu pergi…

Tiada yang tinggal…
hanya jasad kosong yang masih bernyawa…

Bumi masih berputar,
matahari masih saling berganti dengan si bulan…
Walau payah, diri digagahi…
mencari sebuah hakikat yang masih lagi kelam tak bersuluh…

Saat kelopak mata terbuka,
diri disapa lagi dengan ujian…
Serasa hati hampir mati ketenatan, tak tertanggung lagi…
Dijengah dengan khabar penyakit barah bukannya khabar indah…
namun bibir tak lagi terkeluh,
hanya pandangan kosong menembusi dinding,
akal seolah tak mampu memahami rasa yang tertafsir dihati…

Kudrat yang masih tersisa mengheret kaki melangkah…
Pada remangnya senja,
kepala didongak ke dada langit,
hati yang tenat bergetar halus…
bibir yang tak lekang dari keluh  berzikir memuji kebesaran-Nya…

Pada indahnya alam yang menghiasi,
Pada merdunya kicauan suara burung yang berterbangan bebas,
Pada tenangnya sungai yang mengalir indah,
Pada harumnya bunga yang mekar mewangi,
Pada hijaunya rumput yang mendamaikan jiwa…
Air mata gugur membasahi pipi…
Agungnya ciptaan-Mu Ya Rabbi…
menarik akal jahil ini berfikir…
menyentak diri ini bermuhasabah…
mengembalikan aku pada hakikat penciptaanku…
Allahu Ya Rabbi…Agungnya Kuasa-Mu…
Hati ini menangis insaf…

Setelah sekian lama jasad kaku, tak mengenal pencipta Agungnya…
kini jasad hina ini kembali tunduk sujud pada-Nya…
menangisi sekalung bongkak yang dulunya dilontar megah,
menyesali setiap noda dosa yang dilakar alpa…
demi mengharapkan secebis keampunan-Nya…
untuk menggapai sejalur hidayah,
agar jasad hina yang gelap sisinya ini kembali disirami sinar taqwa-Nya…

Kini air mata menjadi saksi penyesalan noda dosa silamku…
Di setiap jejakku yang beralaskan bumi ciptaan-Mu,
air mata ini tak henti mengalir…

Kini aku mengerti…
tiada yang lain untuk ku bergantung harap melainkan hanya kepada-Nya semata…

Telah ku redahi seluruh daerah dunia…
Tak ku temui damai yang ku cari pada megahnya nilai wang kertas…
tak ku temui damai yang ku cari pada gahnya hiasan dunia…
tak ku temui damai yang ku cari pada keseronokan yang penuh dengan maksiat…
tak ku temui damai yang ku cari pada cinta seorang insan…
tiada yang ku temui melainkan sebuah kekecewaan…

Saat ujian yang menyeri hari disingkap,
tiada lain yang kedengaran melainkan kata syukur yang beralun dibibir…
air mata keinsafan bak beranak sungai dipipi,
tak ku tahan, tak ku seka…
moga kesakitan atas kejahilan ku dibawa pergi bersama-samanya…

Pada gemilangnya dunia,
aku menyerah diri,
mengharap sejalur rasa yang mampu mendamaikan jiwa…
namun ternyata semua itu hanyalah palsu…
hilang saat dirimu tak bernilai,
kejam saat dirimu tiada daya,
membunuh saat dirimu tersungkur rebah,
tiada sekelumit kebenaraan dan kebahagiaan yang dijanjikan,
hanya campakan atas palitan dosa-dosa ke lembah hina yang pasti,
sebagaimana yang tercatat didada agung kalamullah…
“Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Yunus:27)

Pada kurniaan indah-Nya,
hati mengenal makna cinta…
namun akal leka pada kiasan disebaliknya…
jiwa dipandu berpaksikan nafsu…
lupa kurniaan itu kan sirna jua bilamana DIA mengkehendakinya…
Dan itulah hakikat yang pasti…
daerah asing yang ku redahi itu memarut kecewa yang hampir membunuh jiwa…
menghumban aku dalam lautan kesal yang tak berpenghujung…
tenggelam dalam lautan duka yang sia-sia…
tiada yang ku temui melainkan kecewa…

Ya Allah…
Segala ketentuan ku serahkan pada-Mu…
biarlah masa yang berbicara,
tak akan aku berpaling pada yang menunggu dan mengugat,
sapanya meletihkan diri,
hadirnya mengundang penat,
cintanya hanya bersalut segunung kepalsuan dan kepura-puraan…
Sesungguhnya hanya pada-Mu terletak selautan kebahagiaan yang hakiki…

Ya Allah, Ya Tuhan ku…semakin jauh diriku dengan-Mu, semakin dekat pula Kau menghampiriku. Betapa kerdilnya diriku dihadapan-Mu… Keindahan fatamorgana mengalpakan aku pada bayangan mentari, aku tenggelam dengan dusta dunia yang penuh kepura-puraan. Telah aku redahi daerah cinta yang lahir dari wardah kealpaan…namun tiada yang kutemui melainkan hanya sebuah kekecewaan. Di kala dinihari, aku menyingkap tirai hatiku Ya Rabbi…untuk aku intai keampunan dari-Mu. Jernih embun kasih sayang-Mu aku dambakan, moga tiap jejakku yang bertapakkan debu-debu kejahilan dapat aku jirus dengan madu keimanan-Mu…

Andainya dihitung amalan-amalanku…belum pasti dapat aku hampiri gerbang syurga-Mu. Ya Allah, tak termampu aku sujud untuk menghapuskan dosa-dosa yang lalu, dan tak ternilai air mataku dengan permata yang bisa memadamkan api neraka-Mu…

Ya Allah Ya Tuhanku… di hamparan ini aku meminta kepada-Mu Tuhan Yang Maha Esa, terimalah taubat hambamu ini yang penuh dengan debu dosa-dosa lalu. Aku akui kelemahan diri, aku insafi kekurangan ini, dan aku menyesali kejahilan-kejahilanku…terimalah taubatku Ya Allah…

Telah aku rasai derita jiwa dan perasaan kerana hilang dari jalan menuju redha-Mu… Ya Allah, aku mendambakan sebutir hakikat untuk aku semai menjadi sepohon makri’fat…moga dapat aku berteduh dipohon rendang kasihmu. Ya Allah, Ya Tuhanku…Engkau teguhkanlah pendirianku, Engkau tetapkanlah keimananku dan jauhkan aku dari hidup yang sia-sia…

Lestarikan wadiku, dan leraikan aku dari pautan nafsu moga dedebu dosa yang mengaburkan hatiku dapat disinari dengan cahaya keimanan-Mu… Terima kasih tak terhingga atas air mata tarbiyah ini… Moga diriku dapat meraih indahnya khusnul khatimah-Mu…

“Jagalah (perintah) Allah s.w.t, maka Dia akan menjagamu; jagalah (kehormatan) Allah s.w.t, nescaya engkau akan mendapati-Nya bersamamu; Bila engkau memohon sesuatu, mohonlah kepada-Nya semata; Bila engkau meminta pertolongan, minta tolonglah kepada Allah semata." – [H.r Tirmidzi]


Dazz-

Monday, August 15, 2011

Amal Soleh - Zainab al-Ghazali


Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, “Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gelita, ada orang yang paginya beriman, siangnya kafir. Ada yang siangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia.” (H.r. Muslim).
Ini adalah wasiat Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Peringatan bahawa akan munculnya suatu zaman yang didalamnya terjadi berbagai fitnah antara manusia.
Fitnah di sini mungkin bererti kemaksiataan, kekufuran dan terjadinya dosa-dosa besar dalam kalangan kaum Muslimin. Sebagaimana juga mungkin fitnah ini bereti memperlekehkan seseorang pada ajaran-ajaran agamanya dan perintah-perintah Allah s.w.t. Mungkin juga bererti kafir kepada Allah s.w.t, Rasul-Nya dan apa yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. Mungkin juga bermakna pada keengganan untuk menegakkan rukun-rukun Islam, meski tetap mengakuinya, (Ianya seorang Muslim, namun pada masa yang sama melakukan berbagai dosa). “Bersegeralah kalian berbuat amal soleh, kerana akan munculnya berbagai fitnah.”
Rasulullah s.a.w memperingatkan kaumnya agar tidak malas dalam beribadat dan beramal soleh, sebaliknya harus memperbanyakkan kedua-duanya. Setiap hari ketika anak Adam menemui pagi, maka saat itu ada kesempatan baginya yang harus ia manfaatkan dengan memperbanyakkan ketaatan, ibadat dan amal soleh. Dengan itu, ia akan sentiasa taat kepada Tuhannya dan menjauhi segala larangan-Nya, sehingga akan bertambah kebaikannya, semakin berat timbangan amal kebajikannya dan terhapus dosa-dosanya.

“Adapun orang yang berat timbangan amalnya, maka dia berada dalam kehidupan yang diredhai. Dan adapun orang yang ringan timbangan amalnya, maka tempatnya adalah Hawiyah. Tahukah kamu (Muhammad) apakah Hawiyah itu? Hawiyah itu adalah api yang menyala-nyala.” (al-Qaari’ah:6-11)
Yang dimaksudkan dengan timbangan pada ayat di atas adalah amal-amal soleh.
Rasulullah s.a.w tidak hanya memerintahkan berbuat amal soleh, namun menyuruh untuk bersegera didalamnya, iaitu cepat-cepat dalam melaksanakannya dan tidak malas. Kerana sesorang itu tidak mengetahui kemungkinan ia akan menjadi korban fitnah, yang menyebabkan dirinya berubah dari Mukmin menjadi kafir, dari seorang hamba yang taat menjadi pendosa. Mungkin sekali ada orang yang beramal dengan amal ahli syurga, bahkan hingga jarak syurga darinya, hanya tinggal sehasta, namun catatan kitab telah mendahuluinya, maka ia pun beramal dengan amalnya ahli neraka dan pada akhirnya masuk ke sana.
Rasulullah s.a.w demikian khuatir kepada umatnya yang lengah dari amal-amal soleh. Mungkin saja salah seorang diantara kita yang menunda amal soleh untuk esok hari. Padahal Allah s.w.t Maha Mengetahui apa yang akan terjadi esok. Oleh itu berhati-hatilah terhadap penundaan amal, kerana waktu tidak terhenti walau sesaat, dunia akan sirna dan fitnah-fitnah itu akan terus-terusan muncul.
Rasulullah s.a.w memberikan peringatan tegas kepada kita akan munculnya fitnah-fitnah ini, yang Beliau umpamakan seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gelita. Saat itulah banyak manusia yang menjadi korban dari fitnah-fitnah tersebut, yang pada saatnya sulit untuk membezakan antara Muslim dan non-Muslim. Seseorang itu diketahui sebagai Muslim, namun ia gemar minum arak, dan senang bermain judi. Ia Muslim, namun ternyata tidak mahu menjauhi apa yang menjadi larangan Allah s.w.t dan tidak bersegera menunaikan perintah-Nya.

“Bersegeralah kalian untuk beramal soleh, kerana akan muncul berbagai macam fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gelita, ada orang yang paginya masih beriman, siangnya sudah kafir, ada yang siangnya beriman, paginya kafir.”
Di waktu paginya, berIman, mahu solat bersama kaum Muslimin yang lain. Setelah itu, sepanjang harinya ia lewati bersama mereka yang senang melanggar kehormataan orang lain dan terjerumus dalam jurang kemaksiataan.
Fitnah-fitnah yang terjadi saat ini telah sedemikian meluas, dimana menyebabkan banyak pemerintahan yang mengaku Islam, namun ternyata melegalisasi amalan-amalan dosa besar. Lihat saja pemerintahan kini, banyaknya pelanggaran terhadap ketentuaan Allah s.w.t. Di mana perlindungan serta jaminan terhadap hal-hal yang boleh kita saksikan dengan mata kepala kita atas aneka bentuk kemaksiataan seperti bar-bar, gedung-gedung bioskop, pentas-pentas sandiwara dan tempat-tempat penjualan minuman keras yang dilegalkan. Juga apa yang disajikan media massa, yakni hal-hal yang bersifat pornografi yang merobek rasa malu dan mengumumkan perang kepada Rabbul Alamiin. Padahal sangat dimungkinkan pemerintahan itu sebagai ikon bagi nilai-nilai keutamaan  dan pembinaan, dalam rangka memperbaiki keadaan umat Muslimin dan mendidik mereka untuk bertakwa dan takut kepada Allah s.w.t.

“Sesungguhnya akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gelita, ada orang yang paginya Mukmin, siangnya sudah kafir,” Bererti, ia keluar dari rumahnya dalam keadaan taat, namun ketika kembali sudah berlumur dengan kemaksiataan.
Sesungguhnya seorang Muslim sejati adalah orang yang paling hati-hati dan takut terhadap kemaksiataan dengan segenap jalannya. Banyak kemaksiataan itulah yang memunculkan tabir hitam pekat yang menghalangi dirinya dari suluh cahaya dengan Tuhannya. Ada suluh cahaya yang akan memanjang sampai ke cahaya Ilahi. Namun cahaya ini akan terputus apabila seorang hamba itu terjerumus dalam kemaksiataan.
Demikianlah kemudiaannya Rasulullah s.a.w melanjutkan penjelasaan tentang kekhuatiraan Beliau akan bahaya fitnah, seraya bersabda. “Ada yang siangnya berIman, paginya kafir.”
Memang ada orang yang di malam hari terus menerus melakukan qiyamullail dan beribadat serta membaca al-Qur’an. Sepanjang malamnya berada dalam hubungan dengan Allah s.w.t. Tiba-tiba syaitan dari golongan jin dan manusia menggodanya sehingga ia terperangkap dalam godaan itu. “Sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lainnya dengan perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).” (al-An’am:112)

“Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia.”
Hal ini adalah pengakhiraan segala-galanya, dan merupakan buah dari fitnah hasil dari sebuah kemalasan dan ketundukan pada kemaksiatan.
Anda akan menjumpai orang yang tidak segan-segan memberi kesaksian palsu, agar dengan demikian pihak atasannya merasa senang. Ini merupakan barang perhiasan dunia. Ada yang melakukan amalan jual beli dengan menipu, maka ini yang disebut menjual agama dengan barang perhiasan dunia. Seseorang berbohong kepada isterinya, kemudian memancingnya untuk melakukan hal yang tidak diredhai Allah s.w.t, maka ini adalah barang perhiasan dunia. Ia menyuruh dan memaksa anak-anak gadisnya untuk tidak mengenakan busana Islam. Tidak pernah peduli, bahkan menegah anak-anaknya menunaikan solat dan tidak melaksanakan ajaran agama, kerana si ayah sudah disibukkan dengan hal dunia. Ia pun membukakan bagi mereka pintu-pintu neraka dan menutup pintu-pintu syurga serta mengharamkan mereka untuk berbuat baik.
 Semua ini merupakan barang perhiasan dunia. Seorang wanita menolak pinangan seorang laki-laki Muslim yang mahu menjalankan solat, zakat, istiqamah, faham akan ma’rifat tuhannya dan komitmen terhadap syariat Allah s.w.t, sementara pada saat yang sama wanita itu tegar memilih seorang pemabuk, suka melabur untuk melempiaskan nafsu syahwat dan gilakan kekayaan kerana berpakejkan muka yang tampan. Wanita seperti ini telah menjual agamanya dengan barang  perhiasan dunia yang fana. “Sungguh akan celaka hamba dinar…akan celaka hamba dirham!”

Seorang Muslim yang  hakiki adalah orang yang sabar terhadap godaan-godaan dunia dan waspada terhadap apa-apa yang dibuat indah oleh syaitan, jin dan manusia. Semuanya itu adalah barang perhiasan yang akan sirna, dimana semua itu akan menemani anak Adam dalam waktu yang sekejap cuma, kemudian secara tiba-tiba ia akan kembali pulang ke pangkuan Tuhannya,berada dalam liang lahad yang sempit, dimana barang perhiasan dan godaan-godaan dunia tersebut tiada kuasa untuk memberikan pertolongan. Ketika itulah ia akan mendapati dirinya bersendirian. Saat itu ia akan mengingati firman Allah s.w.t, “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan turun kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah s.w.t telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti, dan setiap mereka akan datang kepada Allah s.w.t pada hari Kiamat dengan sendiri-sendiri.” (Maryam:93-5)
Saat itulah seseorang tidak akan menghiraukan barang perhiasan dunia yang dulu pernah menguasai dan membuatnya alpa. Kerana tidak satu pun barang perhiasaan dapat menolong dan tiada syaitan pun yang memberi manfaat.
“Pada hari itu tidak berguna syafaat, kecuali syafaat orang Yang Dzat Maha Pemurah telah memberi izin kepadanya, dan DIA telah meredhai perkataannya. DIA mengetahui apa yang ada dihadapan mereka dan apa yang ada dibelakang mereka, sedang ilmu mereka tidak bisa meliputi ilmu-Nya. Dan tunduklah semua muka dengan berendah diri kepada Tuhan Yang Maha Hidup, Yang Kekal lagi sentiasa mengurus (makhluk-Nya). Dan sungguh, telah merugi orang yang melakukan kezaliman.” (Thahaa:109-11)

…Ya Allah s.w.t, anugerahkanlah rezeki kepada kami untuk taat kepada-Mu. Jadikanlah agama itu indah dan mudah bagi kami, sehingga kami bisa beribadat dan bertakwa kepada-Mu dengan sempurna. Sambungkanlah kami dengan-Mu, jangan Engkau lupakan kami dari sentiasa berzikir sehingga amalan kami lurus, bisa selalu dekat dan bergembira dengan kebaikan. Berilah rahmat kepada kami di awal dan akhir siang. Catatlah kami bersama golongan orang-orang yang memohon pertolongan dengan sesuatu di penghujung malam, mereka beribadat dan beristighfar kepada-Mu, bermuhasabah dan takut akan siksa-Mu. Sesungguhnya Engkau Ya Allah s.w.t adalah sebenar-benar Ilah, sebenar-benar Tuhan Yang Maha Penyayang, serta tiada sekutu bagi-Mu. Maha Suci Ya Allah s.w.t, Tuhan seru sekalian alam!...

Dipetik dari buku : Al-Arba’un An-Nabawiyah
Oleh : Sayyidah Zainab al-Ghazali.


~Bagaimana mungkin seorang wanita yang berjuang bermatian demi menegakkan kesucian Islam, tegar mempertahankan batasan aurat, sedaya kudrat mencegah penonjolan wanita yang memenuhi halaman-halaman surat khabar, majalah serta media massa sehinggakan tiada yang tersisa melainkan kalimat kebajikan dan dakwah fisabilillah. Keteguhannya dalam prinsipnya pada hukum-hukum-Nya dan disiplin terhadap syariat yang terlalu payah untuk kita lukiskan kini mampu mendakwah para wanita yang saling berlumba untuk bersolek dan menonjolkan aurat, mengikuti setiap seruan dan panduan yang digariskan oleh al-Qur’an. Wanita ini pernah menjadi simbol perlawanan antara keutamaan dan kehinaan, antara kebajikan dan keburukan. Dipenjarakan kerana menegaskan kalimat, “Tuhan kami adalah Allah s.w.t, undang-undang kami adalah al-Qur’an.” Namun keteguhan dan kesabaraannya tidak pernah sekali tumbang, demi syahadahnya untuk mengorbankan jiwa dan hartanya bagi perjuangan menempuh jalan yang luhur:Islam!
         
          Namun para wanita kini sungguh dalam keadaan yang menyedihkan. Maruah diri seolah dihujung kaki cuma. Kecantikan ditonjol megah…aurat tak lagi disembunyi rapi, malah di angkat sebagai simbol diri. Begitu jerih, begitu perih saat pejuang Wanita Muslimat bangkit berjihad demi secebis maruah dan harga diri wanita, sehinggakan sanggup bergolok gadai, sanggup bertaruh nyawa hanya untuk mempertahankan kesucian dan kehormatan itu …namun para wanita kini seolah menabur racun pada tanaman yang dibajai dan disemai penuh keringat dan titisan darah itu! Tiada malu, tiada peduli…hanya mengikuti nafsu yang mencengkam diri…

          Wanita…selak la dada-dada kuning yang usang itu, korbankanlah sedikit waktumu untuk mengintai lembaran-lembaran sejarah waktu dulu…kerana padanya kau kan temui SYUKUR, padanya matamu kan BASAH keinsafaan, padanya kepalamu kan tunduk SUJUD pada-Nya, dan padanya kau kan temui sifat MALUmu yang sekian lama hilang dalam gelap hatimu…~
Pengorbananmu Sayyidah Zainab al-Ghazali tak kan pernah luput ditelan gemilangnya duniawi, tak kan pernah mati ditelan usia, dan tak kan pernah hilang dari hati-hati yang berjuang dilandasan-Nya… Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman…

“Adapun buih itu akan hilang sebagai sesuatu yang tiada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka akan tetap dibumi.” (Ar-Ra’d:17)

Parut Luka Semalam



Suasana yang sesak dengan pelbagai ragam manusia merimaskan. Peluh mula membasahi belakang baju t-shirt hitamnya. ‘Kuala Lumpur makin sesak…’

Dalam bingitnya suasana jeritan, kaki pantas menyusun langkah menjauh.  Backpack dirasakan terlalu berat…kaki digagahi jua mengharungi lautan manusia yang tak kunjung putus. Mencari ruang untuk bernafas buat seketika.

Hampir setengah jam berjalan, jam ditangan kiri dikerling. ‘Waktu Zuhur dah dipenghujung!’ Kepala didongak ke langit. Panas mentari masih terik menyimbah bumi. 

Fonsel dikocek seluar ditarik keluar.

“Assalamualaikum Pa. Shaq dah sampai.”

Masa yang berlalu dirasakan terlalu lambat. Jam ditangan kiri tak sudah dikerling. Mata-mata yang memandang tak dihirau…masih ada hal penting yang tidak dilunaskannya bermain dibenak.

Hon kereta dari arah belakang menghentikan langkah pendeknya dan melegakan rasa yang menghimpit dada. ‘Finally!’

“ Berapa lama Shaq cuti?”

“Dalam tiga bulan…”

“Semester break?”

Kepala diangguk. Kepala disandar ke seat. Mata dipejam seketika.
…………………………………………..
“Shaq…bangun. Dah sampai…”

Muka diraup. Pintu kiri kereta ditolak.

“Bro!”

“Yo! Cuti?”

Qal angguk kepala. Kedua-dua tangan bercantum. Pantas bahu Shaq dipaut dari belakang.

Tarikan Qal menuju ke ruang tamu menghentikan langkahnya. “Aku nak solat jap…”

“Ok.”

Badan dipusing. Kaki mula mendaki anak tangga ke bilik.
………………………………………………..
“Hai abang Shaq!” Najla senyum simpul. Tangan kiri tak lepas mendukung ‘Baby princessnya’

Shaq tarik senyum. Si kecil dihampiri. Pipi temban Najla dicium bertalu.
“Abang Shaq…” Najla rimas.

Shaq ketawa kuat. “Apesal baby tak besar-besar?”

“…baby mestilah kecik! Kalau dah besar…nanti tak boleh panggil baby dah…”

Ketawanya makin kuat. Kepala dah tergeleng. ‘Alahai Najla!’

Kelibat Ibu yang muncul dari dapur menghentikan tawa Shaq.

“Jom makan…” Ibu tarik kerusi disebelah Najla.

Pa, Qal dengan Abang Syuk dah sedia dimeja. Nafas ditarik lembut. Bibir dipujuk senyum, kaki perlahan mengatur langkah menghampiri ibu.

Tangan dihulur. Ibu sambut dengan tak endah, sibuk melayan kerenah si kecil barangkali…hati memujuk sendiri.

“Shaq, jom makan sekali…” Pa menggamit perlahan.

Kepala diangguk. Kerusi ditarik perlahan.
………………………………………..
“Ibu buat pe?”

Puan Anita terkejut. Kepala segera dikalih ke belakang.

“Nak Shaq tolong?”

Ibu angguk kepala. Bibir spontan mengukir senyuman. Ada rasa bahagia yang menyapa walau suara yang dirindui itu masih dingin untuk kedengaran…
……………………………………………
Shaq dan Qal beriringan masuk ke rumah. Qal yang sibuk berceloteh membuatkan bibirnya tak sudah mengukir senyuman.

“Haa! Dah balik?”

Qal terdiam. Shaq tenang.

“Kamu ni memang hati busuk kan?”

“Ibu…”

“Kamu diam Haiqal! Pergi naik atas buat kerja sekolah!”

“Tapi…” Kamu dah pandai nak melawan ibu?”

Shaq tarik nafas. Bahu Haiqal ditepuknya perlahan. “Tak pe.”

Haiqal melangkah lesu.

“…dari dulu lagi kamu suka cari gaduh dengan Abang Syuk kan. Ada je benda yang kamu nak dengki dengan dia. Kali ni kamu tak puas hati apa pulak. Kalau kamu balik semata nak buat perangai busuk hati kamu tu…baik tak payah balik rumah ni la!” Hidungnya kembang kempis menahan marah.

“…setakat kamu nak tunjuk baik, tak payah la kalau hati tu busuk macam ni! Kamu baca Qur’an banyak-banyak pun tak guna…solat tertunggang-tonggeng pun tak ke mana, kalau hati tu asyik nak dengki jer!”

Parut luka semalam seakan berdarah. Jasad tak mampu lagi berdiri, seakan mahu terhumban menyembah bumi. ‘Ya Ilahi…beri aku kekuataan, walau hanya untuk sesaat…’

“Ibu…”

“Aku tak tahu la kenapa kau ni tak pernah-pernah berubah! Dah besar panjang pun, hati tu tetap busuk!”

‘Air mata tolong jangan mengalir keluar…aku pohon!’

Langkah ibu yang sudah mendaki anak tangga ke tingkat atas dituruti pantas.

Dimuka pintu biliknya kaki terkaku. ‘Allahu Rabbi…jangan biar aku hanyut dalam lautan amarah!’

Ibu bak diserang histeria. Segenap bilik Shaq disepahkannya. Barang-barang Shaq dicampak merata. Almari pakaian Shaq diselongkar, pakaian dibaling keluar. 

Tangisan kecil Najla menyedarkan Shaq yang kaku. Si kecil dikalih pandang. Setitik air matanya gugur jua. Bibir ditarik senyum dalam kepayahan. ‘It’s ok sayang…’
………………………………………….
Hampir sejam ibu melepaskan kemarahan dibilik Shaq sebelum pintu biliknya pula dihempas kuat. 

Kaki perlahan menyusun langkah, kudrat yang ada entah hilang ke mana…
Rasa yang menghimpit dada tak tertafsir. Tangan dikepal kuat, menahan rasa yang tak tentu. Diri lemas dalam nafas yang sesak. ‘Tuhan…sakitnya rasa ini! Apa salahku Ya Rabbi…Apa dosaku dilahirkan ke dunia ini Ya Ilahi… Bodohkah aku kerana mengharapkan parut luka semalam kembali sembuh… Salahkah percaturanku pulang ke daerah berdarah ini… Aku tak mengerti Ya Allah…’

Jasad perlahan melurut jatuh ke lantai, tiada daya lagi diri ini. Air mata melebat gugur ke pipi, tak lagi ditahan, tak lagi diseka. Berlarilah keluar untuk parut yang kembali berdarah…

Tubuh digagah untuk berdiri. Kaki perlahan mengorak langkah menuju ke tandas. Wudhuk diambil tertib, mengharapkan hati yang berdarah bisa terubat. Dalam sujud air mata tak henti mencurah. Sungguh parut luka semalam sangat parah…

“Ya Illahi, pada-Mu aku menyerah diri. Pada-Mu aku kembali bersimpuh, sujud penuh hina atas kifarah-Mu buatku…pada-Mu ku pasakkan segala-galanya. Ya Tuhan dengarilah hati robek ini…tak ku punya sesiapa melainkan Mu Ya Tuhan. Saat ku sakit, Engkau yang menyembuhkan. Saat aku terluka, Engkau yang merawatnya. Saat aku tenggelam dalam lautan kealpaan, Kau tarbiyahkan diriku… Yang Tuhan sungguh aku rindu pada-Mu! Aku bertahan demi-Mu, aku kuat kerana-Mu, aku tersenyum untuk-Mu…telah ku pasrahkan segala-galanya pada-Mu Ya Allah… “Cukuplah Engkau, Ya Allah s.w.t menjadi penolong kami, dan Engkaulah sebaik-baik pelindung…” (Ali Imran:173)

…aku mengerti, hati yang aku tak punya tak kan pernah aku juarainya. Aku sedar…walau seribu mutiara aku hadiahkan buat ibu, tak kan pernah mampu membeli kasihnya. Hakikat itu telah ku telan Ya Allah…tenggelam bersama parut luka semalamku yang terlakar penuh dihatiku. Cukup ku dapat raih cinta-Mu Ya Rabbi…manisnya cinta-Mu membalut luka dihatiku. Nikmatnya cinta-Mu, menjauhkan aku dari palsunya dunia… Tak terhitung air mataku untuk hadiah tak ternilai Mu Ya Tuhan…

…untuk sekali ini aku pohon pada-Mu Ya Rabbi…berikan cebisan cinta-Mu untuk aku harungi parut luka yang kembali berdarah ini… Tunjukkan aku jalan yang benar, agar tak ku kalah ditangan nafsuku. Berilah bahagia pada orang-orang kesayanganku atas keputusan yang bakal ku ambil…biarlah persengketaan ini terlerai disini agar parut luka semalam tak lagi kembali berdarah… Aku takut Ya Allah…andai parut luka itu tak mampu lagi dirawat andai terusan ditoreh…

…hanya pada-Mu ku serahkan segala-galanya. Moga perjalanan ku teguh untuk aku harungi hari yang mendatang. Tiada lain yang ku cari, melainkan redha Mu Ya Tuhan…
……………………………………………
Seusai solat jemaah, hati terasa nyaman. Indahnya tak terucap, seakan hujan salji mencurah dihati… ‘Terima kasih Ya Rabbi…’

Kaki perlahan mengorak langkah, meninggalkan perkarangan Masjid Qait Bey jauh dibelakang. Hampir tiga bulan dia menjejakkan kaki ke daerah Makabir Khulafa, di selatan Cairo setelah tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah di UKM. Terdamparnya dia di daerah Makabir Khulafa demi sebuah hijrah, mencari sirna baru untuk mengorak langkah demi syahadah yang terlafaz saat dia mengaku keesaan Allah s.w.t sebagai Tuhannya…

Perjalanan yang disusuri disapa angin yang bertiup lembut, cukup mendamai jiwa. Esak tangis Najla, si permata kecilnya tiga tahun lalu masih terngiang di telinga. Rindu yang menusuk mengheret kenangan silam itu berputar kembali dikotak memori.

Bukan mudah untuk melupakan sebuah kenangan, lagi sakit untuk menghapuskan layar bayangannya! Hanya berpaksikan Iman didada, kaki kembali gagah berdiri menongkah arus, menjalani hari yang bersisa demi sebuah jihad sebagai perawat duka…

Hati sering tertanya, sampai bila kaki harus menjauh menongkah arus di daerah yang cukup asing. Kekadang hati goyah…kaki ingin sekali berlari pulang. Namun kaki sering lumpuh saat sebuah janji yang terpatri berputar diingatan. ‘Ya Ilahi…bantu aku untuk lepaskan segala-galanya…’
……………………………………….
“Assalamuallaikum Prof Shaqir, kami ada masalah dengan projek Usrah Al-Ihsan…”

Jam ditangan kiri dikerling. “Saya ada kelas ni. Dalam pukul 2.30 petang nanti kamu datang ke bilik saya.”

“Baik Prof.”

Kepala diangguk. Kaki pantas menyusun langkah ke dewan kuliah.
………………………………………
“Naj…”

Kepala didongak dari buku ditangan. “Yup?”

“Kau tak rasa berdebar ke?”

Kening spontan berkerut. “Apesal pulak?”

“…ni kan first time kita nak try join program Usrah Al-Ihsan…”

“Ouh! Hurmm…berdebar tu tak la. Just teruja.” Senyuman manis terukir diwajahnya.

“Tak sabar kan?”

Najla menganggukkan kepala. Senyuman masih tak lekang dibibirnya.
………………………………………….
Berpusu-pusu pelajar dari program Usrah Al-Ihsan berjalan keluar dari dewan menuju ke dataran untuk menjamu selera. Pelajar lelaki dan perempuan terpisah mengikut hala yang telah ditetapkan. Di beberapa sudut kelihatan beberapa kelompok pelajar sedang beramah mesra bersama senior mereka, dan ada yang sedang bertukar pendapat dan pandangan. Suasana didataran meriah seakan sambutan Hari Raya.

Gelagat para pelajarnya dipandang. Ada senyuman yang menghiasi bibir. ‘Syukur Ya Allah…masih lagi kami berpeluang untuk berkumpul bersama-sama dalam meneladani kebesaran-Mu dan mendalami kemegahan (al-Qur’an)  yang Engkau berikan kepada kami…’

Kaki mula menyusun langkah menuju ke dataran. Kelibat gadis kecil yang berdiri tidak jauh darinya mencuri tumpuan. Rindu yang tersimpan didada seolah terungkai. Nadi berdenyut kuat. ‘Ya Tuhan…adakah itu permataku…’
……………………………………………
“Assalamualaikum…”

Sebilangan kecil pelajar perempuan yang tengah bersembang terdiam. Salam Prof Shaqir dijawab perlahan.

Najla masih khusyuk dengan buku ditangannya.

“Boleh saya tahu nama saudari?”

Dina pandang Naj yang tenggelam dengan bukunya. “Kawan saya ni ke ustaz?” Jari telunjuk terlekat ke arah Najla.

Shaq angguk kepala.

“Naj!” Bahu sahabatnya ditepuk perlahan.

Kepala perlahan diangkat dari buku. Kening kanan dinaikkan.

“Ustaz tanya nama kau…”

Najla pandang Shaq yang berdiri agak jauh dari kedudukan mereka.

“Apesal?” Dahi dah berkerut.

“Ntah!” Dina jungkit bahu.

Najla diam. Shaqir dipandang sekilas lalu, cuba mengamati wajah itu, namun kotak memorinya seolah kelam.

“Saya Nur Najla Firdaus…”

Shaq yang berdiri menunggu respon dari si gadis kecil tergamam. ‘Ya Rabbi…dialah permata yang aku rindui!...Subahanallah, Maha Suci Kuasa Mu Ya Allah…’ Tangan diraup ke muka. Hati tak henti bertasbih memuji Ilahi.

Nafas ditarik perlahan. Rindu yang melonjak didada, dipujuk bersabar. “Esok awak jumpa saya dibilik saya. Assalamualaikum.”

Najla memandang bingung. ‘Biar betik ustaz ni…haisyeh!’
………………………………………………….
Di sepertiga malam dia bangun tunduk sujud pada yang Berhak. Hujan air mata kembali membasahi pipi yang sekian lama kekeringan. Dada yang penuh dengan rasa rindu diusap perlahan. ‘Hati ini kini tersenyum bahagia Ya Rabbi… Tiada lafaz yang mampu ku ungkapkan saat ini melainkan tasbih memuji kebesaraan-Mu…’

Di kedinginan pagi itu, tersingkapnya rahsia seorang hamba dengan pencipta-Nya…
……………………………………………………
Di tingkat tiga, hujan air mata membasahi bilik 317. Kedua-duanya tenggelam dalam sendu. Rindu yang tersimpan terungkai sudah. Penuh tertib tangan Abang Shaqnya dicapai dan disalami penuh syahdu. ‘Ya Tuhan…betapa Agung Kuasa-Mu. Terima kasih untuk kesekian kalinya, untuk kesempatan yang dinanti sekian lama ini…’

“Ibu sihat?”

Najla tarik senyum. Bawah dagu digaru perlahan.

Shaqir tergelak. “Dah besar adik abang!”

Najla tersenyum malu.

‘Masih sengketa itu tersemadi di hati ibu… Sengketa yang tak pernah puncanya diketahui… Sengketa yang mencampakkan diri ini jauh… Sengketa yang menghimpun segunung rindu…dan sengketa itu jualah yang melerai sebuah ikatan…’

“Mesti Abang Qal tak cayer kalau Naj cakap, Naj jumpa abang Shaq!” Mata membulat.

“You looked like my old little princess…” ‘Sungguh kenangan itu sangat manis untuk diusir…’

“Wow! Abang ingat lagi eh?”

Kepala diangguk. “Gadis manja yang ada baby kecik!”

Najla tergelak.

“Abang Shaq…”

“Ya?”

“Abang yang selalu kirim duit kat ibu dan Pa kan?”

Kening kiri dijungkit. “Duit?”

“…Every month, sejak tiga tahun lepas.”

Dia tersenyum lagi. “Tak cukup ke?”

“Betul la abang Qal teka!”

“Najla…kisah lalu dikenang bukan untuk ditangisi, tapi untuk dijadikan pengajaran. Tak perlu kita ungkit, jika ia hanya mengundang sebuah duka…”

Si gadis kecil itu tertunduk. “Maafkan Naj…”
……………………………………………
Rindu yang merantai, mengheret kaki kembali ternoktah di daerah yang banyak menggores parut luka dihati. Kaki dibawa terniktah demi sebuah rindu yang merantai dan secebis kemaafan dan keampunan…

‘Ibu…diri ini sedar, syurga ku letaknya dibawah telapakmu. Walau seluruh dunia ku redahi, tak kan pernah ku temui penggantimu…’

“Abang Shaq!” Haiqal menjerit pantas melihatkan susuk tubuh diambang pintu rumah.
Pelukan kemas meleraikan rindu yang telah lama tersimpan.

“Pa dengan ibu ada?”

Haiqal mengangguk. Mata masih tak lepas pandang raut wajah Shaq.

“Jom masuk.”
……………………………………………….
“Kenapa kau balik sini?” Suaranya dingin sekali. Matanya jauh, seolah diri ini jijik untuk dipandang. Hati berlagu zikir. ‘Kuatlah wahai hati…’

“Anita!” suara Pa tegas.

‘Ya Tuhan, jangan kerana diri ini menuruti rindu yang menggunung…terlerainya sebuah ikatan suci…’

“Ibu…Shaq mintak maaf untuk semua yang telah melukakan hati ibu. Shaq pinta bu…jangan hukum Shaq begini. Biarpun Ibu dah tak sudi pandang muka Shaq…tolong ampunkan segala dosa Shaq, halalkan makan minum Shaq selama ini…”

Ibu hanya diam. Seolah tak tembus hatta seinci.

“Anita…yang lepas tu sudah-sudah la…”

“Awak tak tahu betapa sakitnya hati saya ni bang! Dia pergi dari rumah ni cukup membahagiakan saya!”

“Anita!!” Suara Pa dah melengking kuat.

“Pa…biarlah Shaq selesaikan dengan Ibu. Selagi ibu pendam, dendam itu tak kan pernah terlerai…”

Pa mengangguk lemah. Kaki melangkah menjauh, memberi ruang.

“Ibu…”

“Kenapa kau kembali…”

Bibir tersenyum payah. “Shaq nak minta ampun bu…”

“Untuk apa?”

“Leraikan kesakitaan dihati ibu, andai itu dapat membasuh dosa Shaq. Pukuli tubuh ini, andai itu dapat melerai dendam dihati ibu…tolong jangan campak Shaq jauh tanpa keampunan bu…” Lutut ibu dipautnya erat.

“Senang kau berkata!” Tangan Shaq ditepis kuat. Dia bangun dari kerusi, menjauh.

“Aku kesal melahirkan anak yang busuk hati macam kau… Selalu menunding salah pada orang lain. Mencaci dan mengutuk sesuka hati…tapi berlagak suci seolah diri kau tak salah!”

‘Tuhan….hinanya aku dimata ibu… Hati senyumlah…’

“Maafkan Shaq…”

“Sekadar menutur maaf memang senang!”

“Apa yang ibu mahukan demi secebis keampunan…”

Puan Anita ketawa sinis. “Dapat ke kau kembalikan maruah Abang Syuk yang kau caci dan kutuk tu? Mampu…?”

Dahi berkerut hebat. “Shaq tak pernah kutuk dan caci Abang Syuk!”

“Orang jahat manakan sanggup mengaku salah sendiri…!”

‘Ya Rabbi…aku keliru! Sengketa apakah ini…cerita yang tak pernah aku ketahui…’

“Sumpah Shaq tak buat semua tu!”

Ibu kelihatan semakin marah. Nama Abang Syuk dilaung kuat.

“Ya bu?” Mata terpaku melihatkan susuk tubuh yang bersimpuh dipermaidani.

“Shaq?”

“Kamu cakap dengan budak ni…dia tak mengaku dia caci dan kutuk kamu dekat kawan-kawan kamu…!”

Syuk kelihatan gementar. Liur ditelan kuat. “Kenapa nak ungkit benda lama ni bu…”

“Abang Syuk…tolong cakap jujur dengan Shaq. Bila Shaq buat semua tu? Kenapa Abang sanggup buat Shaq macam ni?”

“Kau cakap pe ni!” Gelisah yang menyelubungi diri, membangkitkan amarah.

“Apa yang abang cuba raih? Apa yang abang dapat? Kemenangan dengan cara keji ni?”

“Hoi! Kau ni melampau…!”

“Syukran!” Pa menengking kuat. “Jaga bahasa kamu!”

“Kalau megah yang abang raih, kalau kemenangan yang abang julangkan…tahniah! Abang dah berjaya… Saat sengketa yang abang cipta yang mengheret kaki ini menjauh, abang dah meraih kejayaan besar. Shaq dah tak punya apa untuk abang rebut…malah Shaq hilang kesemuanya dalam sekelip mata. Kesakitaan tu dah terbayar dengan dendam Abang Syuk terhadap Shaq…maafkan Shaq atas semua khilaf Shaq sepanjang memegang gelaran adik kepada Abang Syuk. Terlalu mahal bayaran yang Shaq terpaksa bayar…” bibir tersenyum indah. Hati seakan kosong. Sengketa yang sekian lama tercipta dengan ibu hanyalah kerana sebuah dendam saudara sedaging! ‘Ya Ilahi…payah untuk ku telan…’

Diri digagahi, bangkit dari sila. Bibir ditarik senyum. “Maafkan Shaq…kehadiran diri ini terlalu banyak menoreh luka dihati kalian. Ibu…andai sakit itu surut, maafkan lah diri hina ini. Moga kemaafan itu dapat membuka pintu syurga buat Shaq. Assalamualaikum.”

“Abang Shaq!”

Jeritan Najla dan Haiqal dibiar sepi. Hati ini tak teguh untuk tinggal. Biarlah aku membawa diri, agar parut luka semalam tak lagi terobek…
………………………………………………
“Sayang…”

“Ye bang?” Raut wajah suaminya direnung asyik.

“Didik la Amni dan Amna sebaik-baiknya…jangan pernah berlaku curang dalam membahagi kasihmu. Walau perit untuk dirimu berlaku adil, berdoalah minta petunjuk dari-Nya. Jangan pernah melontar beribu alasan hanya untuk berlaku curang. Padamu ku sandarkan harapan, moga lahirnya mereka dengan jiwa yang bersih dan murni….”

“Insyallah bang…” Setitis air mata membasahi pipi Maisara Adnan.
…………………………………………
Pelik melihatkan suaminya terbaring nyenyak selepas menunaikan solat subuh berjemaah menarik tangkai hati. ‘Selalunya abang mengaji kan…’ Kepala digaru lembut.

Jeritan Amna mematikan langkah untuk menghampiri sang suami. Kaki pantas berlari ke kamar si kecil.
…………………………………………
“Abang…dah pukul lapan ni. Abang tak kerja ke?”

Tangan sibuk memakaikan gaun untuk si kecil.

Amni yang leka dengan ‘barbie’nya kalih pandang si Abah yang masih nyenyak dikatil. Katil dipanjat perlahan. Tubuh Shaq digoncang perlahan. Shaq yang masih tidak jaga menghairankan si kecil, lantas dahi abahnya dicium lembut. “Ibu…cejuknya dahi abah!” Dalam pelat si anak berbicara.

Maisara kaku. Dengan gementar langkah diatur mendekati suaminya. Bahu suaminya digoncang lembut. Senyuman yang tak lekang dari bibir suaminya mengundang getar dihati. ‘Ya Tuhan…Kau telah jemput kekasih hatiku mengadap-Mu….’ Setitik air matanya gugur jua. Amni dipeluknya erat ke dakapan. “Abah dah pergi jauh sayang….”

Si kecil hanya mengangguk seolah mengerti.
………………………………………….
Jeritan suara ibu membuatkan pembacaannya terhenti. Mutiara jernih yang membasahi pipi disapu pantas. Kaki segera dibawa menuju ke tandas. Muka dibasuh, menghilangkan sisa air mata yang berbaki.

“Sori bu…”

“Puteri ibu sorang ni! Selalu jer tak dengar kalau ibu panggil lembut-lembut yer…”
Senyuman manis dihadiahkan buat si ibu.

“Amna balik pukul berapa?”

Jam didinding dapur dikerling. “Kejap lagi sampai la tu…”

“Assalamualaikum…”

“…kan dah cakap! Panjang pun umur…”

Maisara tergelak. Ada rasa bahagia menyapa dihatinya. ‘Abang…puteri kita dah besar…nakal dan manja, tapi kuat bercakap!...macam abah dia. Sara rindu abang… Moga abang tenang disana…’
………………………………………….
“Bu…”

“Ye sayang…”

“Nenek belah arwah abah ada lagi tak?”

Maisara pandang kejap muka Amni. “Kenapa?”

“Just wondering…lagipun kita tak pernah balik kampung arwah abah kan?”

“Ye la bu…” Amna tumpang teruja.

‘Mungkin dah tiba masanya kan bang….’ Maisara tersenyum kearah kedua-dua puterinya. Rambut anak-anaknya dibelai lembut.

“Esok kita jumpa nenek dengan atuk yer…”

“Really?” Amni terjerit tak percaya.
Maisara mengangguk.

“Yes!” Kedua-duanya terjerit suka.
………………………………………………………
Puan Anita terpaku. Matanya dipejam celikkan. Tiga susuk tubuh didepannya seakan mampu membuatkan dirinya pengsan saat ini.
………………………………………………………
Kegembiraan yang terlakar disudut ruang tamu bagai merentap jiwanya. Ada rasa ingin turut serta…namun ego menyanggah pantas. ‘Ahh…aku selalu tewas pada egoku!’

“Nek!” Amni tersenyum manis.

Anita tersenyum kelat.

“Nenek buat pe ni…”

“…kuih bingka. Feveret atuk kamu ni haa…”

Kepala dah terangguk. “Abah pun suka sangat kuih ni…” Perlahan ayat itu meluncur dari bibirnya.

Anita pantas merenung raut wajah cucunya. Rasa hati yang mendesak untuk bertanya silih berganti dengan ego yang menegah seakan melemaskannya. “Kenapa abah kamu tak datang sekali….”

Amni kaku. Neneknya direnung lama… ‘Abah…nenek tanya pasal abah… Abah…Amni rasa nak peluk je nenek saat ni. Abah…akhirnya nenek tanyakan abah. Abah…air mata ni dah tak mampu bertahan… Abah…’

Amni yang senyap dicuitnya lembut. “Kamu ni kenapa?”

“Err…” Dia sengih. Kepala digaru.

“Esok nenek free?”

“Kenapa?”

“Amni nak ajak nenek dating!” Mata kananya dikenyitkan.

Anita tergelak kecil. “Ok.”
…………………………………………
Tanda tanya yang bermain dibenak, akhirnya terjawab saat mata menyapa tulisan dibatu nisan. Tubuh terlurut jatuh. Air mata mula membasahi pipi. “Allahuakabar!...”

Amni tersenyum dalam tangis. ‘Abah…ni je yang mampu Amni dan Amna buat. Moga abah tenang disana. Moga pintu kemaafan terbuka untuk nenek maafkan abah… Amni rindu abah! Bahagialah abah disana….’
………………………………………….
Sampul surat yang diberikan Amni diusapnya lembut. Air mata masih setia menemani usai solat Isyak tadi.

Assalamualaikum Ibu…
Shaq tak pandai berkata-kata...
hanya mampu mempersembahkan contengan yang terlafaz dari sudut hati yang daif ini...

Kini masih sendirian…
Di kamar usang aku kembali,
kenangan lama kembali terusik walau payah aku usir,
dada sesak melemaskan aku,
jasad bergetar halus,
keluarkan tangis mu wahai mata!
Aku mohon…

Serasa aku hampir rebah di jerami,
Ya Allah bantu aku!
Hati mengertilah…
kan ada hikmah di sebaliknya…

Maafkan aku Ya Rabbi…
Aku tak kuat…
Kesakitan ini seolah menghunus tajam ke dasar hati,
pinta ku hanya satu,
moga saat aku bangkit dari rebah ini,
tiada lagi dendam,
tiada lagi air mata,
biarkan kesakitan itu berlalu pergi,
agar dapat aku berdiri kembali…

Serasa hampir suku abad kenangan itu aku lontar,
walau payah,
walau berat,
kaki ini tetap di hayun melangkah…
demi sebuah sinar yang aku cari…

Bertahun aku asuh jiwa,
bertahun aku ajari hati,
bertahun aku ucap kata maaf,
demi melerai sebuah dendam yang kian bercambah…

Aku hanya insan biasa,
lemah kala ujian-Nya menyapa…
Walau luarannya aku teguh,
aku punyai jiwa…
Walau raut wajah tenang,
namun hati ini rapuh…
Walau bibir tersenyum indah,
hati ini tak pernah sunyi dari tangis…
Sehingga aku lupa yang sebenarnya fungsi mata itulah yang menghambur tangis…

Aku sedar hinanya diri ini…
Aku tak punya raut wajah yang tampan,
tak juga dijulang dengan ilmu yang tinggi,
tak juga dimegah dengan lisan yang kencang,
aku hanya ada sekeping jiwa yang rapuh…

Walau jauh mana aku berlari,
walau sedalam mana aku bersembunyi,
walau sekuat mana aku pekakkan telinga,
walau sepekat mana aku gelapkan mata,
aku tak mampu mengusir jauh kenangan itu…

Saatnya kanak-kanak lain riang bercanda,
aku hanya merenung dari kejauhan,
saatnya mereka bermain riang,
aku hanya tersorok diceruk dapur,
saatnya pakaian cantik tersarung megah ditubuh mereka,
aku hanya dialasi kemeja buruk…
tapi aku tak peduli semua itu…
kerana yang aku damba hanya secebis rasa kasih yang bernama SAYANG…

Disaat barangan kesukaan Ibu dirosakkan,
Ibu pujuk mereka,
Ibu belai mereka…
Disaat aku lupa mengangkat pakaian di ampaian,
hanya sebakul herdikan,
segenggam cubitan yang Ibu hadiahi…
Aku pelik,
Aku bingung,
SIAPAKAH AKU…

Kehidupan aku lalui,
tiada garam,
tiada gula,
hanya air kosong semata,
tak berwarna…

Saatnya aku menjejakkan kaki ke alam dewasa,
seluruh rongga terbuka luas…
Rupanya dunia bukan seindah-indah hiasan…
Kebaikan diseluputi kejahatan,
keceriaan hanyalah lukisan,
kepalsuan mula terbongkar,
yang ada hanyalah sebuah lakonan…
Ah…itu semua asam garam hidupku!
bukan satu keanehan yang merenjatkan aku…

Dalam renungan aku tersedar…
rupanya hati ini jahil dalam mengenal makna SAYANG,
aku mencari,
aku menggali…

Namun…
mengenalinya membuatkan aku hampir rebah di lautan air mata…
Ya…saat aku mengerti kata itu,
buat pertama kalinya mata ku benar-benar menjalankan fungsinya…
Di kala itu aku hanya mampu menyesalinya…
betapa indahnya sebuah kata itu…
bisa merobek seluruh jasadku…
hati yang dulu keras bak batu,
kini cair hampir ke titisan…

Di kejauhan,
aku intai raut wajah lena mu…
Pada dinginnya malam,
aku damba pelukan mu…
Saat jemari nakal bersuara,
ingin ku sentuh lembut wajah mu…
Tapi ku tak bisa…
walau sekadar angan ianya cukup membahagiakan aku…

Kehidupan mematangkan usia,
ujian yang penuh sesak mendewasakan aku…
Menjauh mengajar aku erti sebuah kehidupan,
setiap saatnya,
setiap detiknya,
penuh dengan perjuangan…
Walau hati seakan mati,
jasad tetap hidup menjalani hari,
selagi mana ianya belum bercerai dari badan…

Pulangnya diri mengharapkan secebis sinar,
namun ternyata sejarah itu pasti kan berulang…
Entah mana silap ku,
entah apa dosa ku,
tiada jawapan yang ku temui…
Aku buntu…
Aku bingung…

Seakan hampir suku kenangan itu terlayar,
walau berkali aku cuba menepis,
seakan tak mampu aku bohongi diri…
Kenangan itu hampir membunuhku,
aku terkapai-kapai menyusun langkah,
walau berkali rebah,
walau beribu luka tergarit,
ianya tak separah hati ku yang carik…

Kematangan itu mendewasakan aku,
mengajar aku untuk mengalah,
mendidik aku kala amarah merajai,
mengasuh aku saat hati rusuh,
memarut secakir senyuman kala bibir mulai lesu…

Pada siapa harus ku megah…
Pada siapa harus ku laung amarah…
Pada siapa harus ku mencebik sinis…
Pada siapa harus ku berkata hina…
Sedangkan semunya dari DIA…

Pada cerahnya siang,
aku tersenyum payah…
Pada pekatnya malam,
aku menangis lesu…

Di saat pekat malam tiba,
aku kembali pada-Nya…
Tunduk sujud penuh kekerdilan…
Menghambur sejuta rasa yang terhimpit didada,
mengharap sebuah pengertian,
merayu  demi secebis keampunan,
meminta sebongkah kekuataan,
kerana aku hanya punya DIA…

Pada coretan hebatnya seorang Ibu,
hati bergetar kuat…
Pada teladan kisahnya seorang Ibu,
hati menangis…
Walau hanya coretan,
ia bisa membuat aku mengerti…
“ The more I was hurt by it,
it just meant I loved Mom that much more…”

Saatnya…
anak-anak mu pulang ke pangkuan mu,
bening mata mu bersinar indah…
Bibir mu tak lekang dek senyuman,
berceloteh penuh riang…
Dan aku hanya memandang dari kejauhan,
bibir perlahan mengukir senyuman…
Syukur…hati mu tak lagi bersedih …

Walau aku tak mampu membuat mu tersenyum,
walau aku tak mampu mengundang tawa mu,
walau aku tak mampu menceriakan hari-hari mu,
hati ini tak pernah berhenti menyanyangi mu…
di setiap waktu solat,
doaku tak pernah surut buat mu…

Aku mulai mengerti akan sebuah hakikat…
Walau seluruh dunia aku redahi,
tak kan pernah ku temui pengganti mu…
Biar sedalam mana pun luka yang terparut,
akan ku balut dengan kasih-Nya…
Maafkan aku pada yang sudi menghulur,
bukan diri ini megah kerana menepis…
Mengertilah…
Aku takut andai kasih ku cuma palsu…
Biarlah hanya jasad ku yang bicara…
Walau lafaz itu bagai mutiara,
kesakitan itu tetap tak mampu aku lontar ke tepi…

Saat ini aku mengerti,
hati yang aku tak punya,
tak kan pernah mampu aku juarai,
walau sejuta permata sebagai pengganti…

Mom…
The more I learn,
The more I love,
The more my heart can’t get enough,
The much more I love you…
Maafkan diri hina ini Ibu…

Yang Jauh,
Shaqir Firdaus.

“Ya Allah….!” Hati merintih hebat. “Anakku…!”

Disebalik pintu, gugurnya permata mahal seorang lelaki. ‘Terima kasih Tuhan…akhirnya terbuka jua pintu hati isteriku… Shaqir, tenang la kamu disana anakku...doa abah sentiasa mengiringimu…’
……………………………………………
Walau pahit mana bebanan kata itu, walau berkali hati terluka, ikatan itu tetap tidak akan terlerai… Sejauhmana kaki dibawa berlari, sejauhmana diri dibawa bersembunyi…rindu yang tersemat didada kembali membawa diri pulang. Sesungguhnya kasih seorang ibu lebih kuat merantai jiwa dari kesakitan yang memarut luka dihati…                  -Amni Shaqir-

Ibu…padamu si kecil berharap, padamu si kecil terasuh, padamu si kecil membina peribadi, padamu si kecil mencorak hatinya. Hanya padamu si kecil belajar erti kehidupan…jatuhnya ia, calarnya ia…hanya keranamu! Walau tak bisa kau berikan segunung intan, cukup dengan kudrat termampumu. Walau sejerih mana pun perasaanmu, pasti kan kau temui bahagianya hasil didikanmu suatu hari nanti… Terima kasih Ibuku, Maisara Adnan…     -Amna Shaqir-

Puteriku…ujian kepahitan dalam kehidupan, padanya ada kebahagiaan… Pandu akalmu, ajari nafsumu, didiklah akhlakmu…jangan biar dendam menguasi jiwamu. Kelak ia akan membinasakan dirimu. Setiap yang berlaku, renungilah dengan kebijaksanaan akal anugerah-Nya itu. Kala akal mu tak mampu berfungsi, kembalilah pada-Nya, sujud lah engkau penuh daif…berdoalah pinta dibukakan jalannya…insyaAllah kan kau temui manisnya Islam sebagai aturan dalam hidup.

Puteriku…sebuah kemaafan itu lebih mulia dari gahnya kilaun emas. Tanam dan bajalah ia didalam hatimu…agar saat kesakitaan menyapamu, kau mampu rawat ia dengan ladang kemaafanmu… “Jangan bersedih puteri kesayanganku…sesungguhnya Allah s.w.t bersama kita…” (At-Taubah:40) Amna dan Amni sentiasa dihati Abah…                -Shaqir Firdaus-