Monday, October 3, 2011

Bila Insan Kenal pada Tuhan~




Dalam langkah,
kaki seakan kaku...
Dalam bicara,
lidah seakan beku...
Bingung dengan alam yang terik dalam gelap...

Tanpa arah,
tanpa haluan...
dunia ku redahi sendirian...

Pada pentas dunia,
aku mencari jawapan yang sesak dibenak,
namun hanya ku temui palsu yang penuh dengan kepura-puraan...

Ada apa pada harta?
Ada apa pada pangkat?
Ada apa pada keseronokan?
Ada apa pada kemegahan?
Ada apa pada cinta manusia?
Kala itu semua pinjaman...
sedang kita jua hanya menumpang...

Ku teruskan jua langkah kaki,
mengheret jasad kaku,
demi melerai persoalan dibenak...

Pada bingitnya suara dendangan,
pada meriahnya majlis yang gemilang,
aku tersenyum girang...
bahagia seakan menyapa gelisah yang sekian lama bermukim...

Pada bicara,
soal hati sering diperdebat...
Pada mata,
hati megah menjulang perhubungan terlarang...
Pada masa,
jasad tak henti berbuat sia...
Semuanya kelihatan biasa,
seolah ianya fitrah semulajadi,
sedang bahagia makin menjauh,
dan hati tak pernah henti gelisah sendiri...

Pada gelapnya dunia,
aku karam keseorangan...
Saatnya sakit menyapa,
keluh dan kesah tak henti berlari ditubir bibir...
Diri seakan malang tak disayangi...
sedang hati makin parah...

Detik jarum tak henti berputar,
Kejam bak belati...
menghukum tanpa ada belas...

Dalam lena aku jaga,
tersentak pada kelamnya malam...
Bagai semuanya tiada erti...
Hanya bingung makin merajai...

Hati tak betah menanggung,
Otak seakan buntu hampir gila sendirian...
Ya Tuhan!...
Aku tersentak dari jaga...
Hampir penghujung hayatku,
nama itu jarang sekali dibibir...
Air mata merembes laju,
tak lagi tertahan...

Dalam getar,
jasad dibasahi wudhuk...
Dalam air mata,
hamparan dibentang sayu...
Hamba hina-Mu kembali pada-Mu Ya Allah s.w.t...
Hanya pada-Mu...

Dan kini...
ku temui sirna kedamaian itu...
terungkai sudah persoalan yang menyenakkan...
Seribu syukur ku panjatkan buat-Mu Ya Rabbi...

Pada kejahilan diri, 
aku mencari makna sebuah kehidupan...
Saatnya aku mengenali hakikat diriku,
aku adalah hamba-Mu..
telah ku kenali-Mu, Allah s.w.t,
adalah Tuhan ku yang satu...

Makrifatu An-Nafs yang tiada penghujungnya, 
disingkap penuh kasih oleh Mu Ya Rabbi...
Takkala itu, terbitlah makrifatullah sejajar dengan makrifatunnaf...


Takkala mengenal diri begitu hina,
maka hanya Allah s.w.t.lah yang Maha Mulia... 


Takkala mengenali diri begitu kerdil,
maka pada ketika itu,
kenallah bahawa hanya Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa... 


Takkala mengenali diri sebagai hamba,
maka kenallah bahawa hanya Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang layak ditaati secara mutlak tanpa penyekutuan...


Takkala mengenali diri amat berhajat kepada pergantungan dalam menempuh kehidupan dunia ini,
maka ketika itulah, ku mengenali Allah s.w.t. sebagai tempat pergantungan segala sesuatu...

Sebagaimana syair sufi yang mahsyur...
Di manakah kamu,takkala dibanding dengan kecantikan-Nya, 
Demi Allah s.w.t, tidaklah kamu melainkan Dia juga... 

Hanya pada-Mu ada kedamaian...


Dazz-



Telah berkata para arif billah: "Kenal diri, maka kamu akan kenal Tuhan" 

Maknanya secara ringkas, kenallah hakikat diri, iaitu hamba Allah s.w.t., maka akan kenallah Allah s.w.t. sebagai Tuhan kita. 

Sesiapa yang kenal kehambaan diri (Ubudiyah) dan merealisasikannya dalam bentuk Ibadah (ketaatan), maka dia akan mengenali bahawa, dia mempunyai Tuhan yang perlu ditaati dan disembah dan, dari-Nya wujudnya dirinya dan kepada-Nya jua kembalinya dirinya. 

Semakin meningkat pengenalan kita tentang hakikat diri (UBUDIYAH), semakin meningkat pengenalan kita tentang Allah s.w.t. (RUBUBIYAH dan ULUHIYAH-Nya), dan tiada penghujungnya peningkatan makrifat tersebut.

Makrifatu An-Nafs merupakan zauq (persaaan) dalam diri yang pelbagai, dan tiada penghujungya, setiap kali Allah s.w.t. menyingkap hijab-hijab dari diri dan menzahirkan hakikat diri kepada diri sendiri. 

Takkala itu, terbitlah makrifatullah sejajar dengan makrifatunnafs. 
Takkala mengenal diri begitu hina, maka hanya Allah s.w.t.lah yang Maha Mulia 
Takkala mengenali diri begitu kerdil, maka pada ketika itu, kenallah bahawa hanya Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa. 
Takkala mengenali diri sebagai hamba, maka kenallah bahawa hanya Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang layak ditaati secara mutlak tanpa penyekutuan. 
Takkala mengenali diri amat berhajat kepada pergantungan dalam menempuh kehidupan dunia ini, maka ketika itulah, kita mengenali Allah s.w.t. sebagai tempat pergantungan segala sesuatu. 

Diri sendiri ialah tempat tajalli af'al (perbuatan) Allah s.w.t., dari sifat Allah s.w.t.. 

Oleh itu, Nama-nama Allah s.w.t. mewakili sifat-sifat-Nya. Sedangkan sifat-sifat Allah s.w.t. dikenali dengan af'al-Nya dan af'al-Nya dikenali dengan penyingkapan hakikat diri. 

Semakin terbuka hakikat diri dalam diri kepada diri, semakin jelas makrifatullah dalam diri, kerana diri pada hakikatnya ialah makhluk DIA, kerana ia (diri) dari DIA. Setiap dari Dia ialah kepunyaan-Nya. Mana milik kita?...


Sejauh mana kita melakar kejayaan,
Setinggi mana kita menggapai kemewahan,
Sehebat mana kita meraih pangkat,
Kita tetap miskin dan daif pada makrifat-Nya...

Dan kerana itulah hati sering merasa tak pernah puas...~

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment