Monday, July 11, 2011

Bening Mata Seorang Adik~


Di keheningan pagi,
hati kembali menangis…
Jasad hitam tunduk sujud pada yang berHak.
Dalam tadahan doa,
air mata mencurah…
Ya Ilahi…
hatiku pasrah…

Bertemankan cahaya rembulan-Mu,
pena menari pantas…
bait-bait dibenak mencurah-curah,
selebat titisan air mata yang jatuh ke pipi…

Ya Ilahi…
Dikedinginan pagi-Mu ini,
hatiku celik…
rongga tubuhku bergetar halus,
percikan taubat pada-Mu bergemerlapan indah…

Ya Ilahi…
Pada jalan jihad-Mu,
nyawa ku serah…
tiada lain yang ku cari melainkan redha-Mu…

Dalam keinsafan yang menggunung,
suara kecil milik segumpal darah yang bernama hati,
menjerit halus…
jeritan yang menghentikan deru nafas…
jasad melorot jatuh ke tanah…

Subahanallah…
Di hamparan sejadah kepalaku rebah,
empangan tangisan mulai pecah,
tak lagi bisa dibendung dan di cegah…

Ya Ilahi…
Seakan tak mampu untuk ku persembahkan raut wajah ini,
bagaimana harus bibir tersenyum indah,
sedangkan maksiat mengejek megah…
bagaimana harus tidur ku lena,
sedangkan zina turut tersenyum megah…

Hati ini tak lagi mampu berdiri,
Api jihad yang marak di jiwa,
hanya mampu dipandang sepi…

Di kedinginan pagi…
Kala diri sujud pada Ilahi,
memohon secebis keampunan,
megakui segala noda-noda dosa,
hati kembali goyah…

Di kala itu…
Maksiat bangkit bersuara,
lantas diri diejek hina,
zina  turut berdiri megah,
senyum sinis terpampang di segenap anggota,
Sungguh diri ini malu pada-Mu Ya Rabbi…

Kakak…
Pandanglah bening mata adik mu ini,
selamilah hati kecil ini.
Mengertilah…
marahku bukan kerana dengki,
teguranku bukan kerana benci,
diamku bukan kerana merestui,
menjauhku bukan kerana menyerah…
Ketahuilah…
hatiku tika ini luka berdarah…

Kakak…
Aku akui hakikat itu…
Alunan kalamullah ku tak serancak mu,
zikir dibenak tak sehebat penguasaan mu,
ilmu di dada tak sekencang pengetahuan mu…
Manakan pernah sama diri ini dengan dirimu,
Diibaratkan langit dengan bumi,
selamanya tak kan pernah berdiri sama tinggi…
Kerana aku hanya insan yang serba kurang,
yang baru bertatih dari rebahan pertama,
tak kan pernah duduk sama tinggi,
dengan dirimu seorang hafizah…

Saat bibir mula membuka bicara,
suara mu menepis pantas…
Saat tangan menghulur makalah,
mata mu menjeling pantas…

Namun diri ini…
tak pantas menyerah sebelum kalah!
Walau nyaring suaramu amarah,
walau tajam matamu menikam,
hati tak sedikit pun goyah!

Kakak…
Teguranku bukan jenaka lucu,
marahku bukan kerana nafsu,
air mata ku bukan untuk diketawa lucu…
Yang haq tetap haq!
Yang batil tetap batil!
Jangan kerana dibutakan nafsu,
engkau menghalalkan semua itu!

Jangan bertelagah dengan ku,
jika engkau sendiri kalah dengan nafsu…
Jangan mencebik ke muka ku,
jika cinta palsu itu menjadi agungan mu!

Wahai hafizah…
Di mana ilmu kencang yang menghuni megah di dada mu?
Di mana alunan suci kalamullah yang terhafal indah dibenak mu?
Jangan pernah diri merasa megah dengan pinjaman-Nya itu,
andai kurniaan itu hanya sekadar di simpan dan di gantung indah!

Ya Ilahi…
Jiwa ini menangis sendu,
hati ini tergores ngilu,
jasad ini bergetar pilu,
kini aku hanya mampu berserah pada-Mu…
Ternyata jihad itu payah,
Jika diri tak istiqamah…

Teguranku ibarat seloka si Luncai buat mu…
Ternyata hati mu sekeras batu!
Benar ilmu ku hanya setinggi Pak Kaduk,
namun syukur hati ini masih lagi celik…

Kakak…
Celikkan mata mu!
Tebarkan seluasnya rongga telinga mu!
Kerahkan seluruh anggota mu agar jaga!
Sebagai saksi kebangkitan jiwa ku!

Sematkan pekikan syahadahku ini!
Walau tali silaturahim jadi taruhan,
tak kan sesekali aku tunduk mengalah!
Cukup mata ku di butakan,
cukup telinga ku di pekakkan,
biarpun jasad  bercerai dari badan,
tak kan aku berundur menyerah kalah!
Demi  syahadah ku buat mu ISLAM!

Kakak…
Air yang di cincang tak akan putus,
hati yang luka pastikan sembuh,
jiwa yang merajuk pastikan terpujuk,
jasad yang lelah pasti bangkit bernafas,
selagi Iman dan Taqwa terselimut indah…

Sematkan di sudut hati mu…
doa ku buat mu tak kan pernah kering,
hujan air mata ku tak kan jemu mencurah,
demi mengharapkan secangkir hidayah-Nya…
Moga terbuka hijab kelam yang menutup mata hati mu,
kerana DIA Maha Mendengar lagi Mengasihani…


1 comment:

  1. akak..

    i began to understand ur words last night..

    ReplyDelete