Monday, June 20, 2011

Surat dari ayah buat adik…







Assalamualaikum…
Terima kasih ayah ucapkan kat adik atas ucapan dan hadiahkan ayah sepasang jam tangan yang berjenama sempena hari bapa kali ini…
Ayah tahu adik lebih dari mampu untuk belikan hadiah-hadiah yang lebih hebat dan berjenama…
Hadiah yang adik bagi kat ayah sempena hari bapa tiap-tiap tahun, ayah simpan elok-elok… Tak mampu ayah nak gunakan apatah lagi bermegah dengan hadiah-hadiah yang adik berikan…
Sedari adik kecil sampailah adik menginjak dewasa. Dah boleh berdiri dengan kaki sendiri, bergaji besar, berkereta mewah…tak pernah satu detik pun ayah lupakan adik. Ayah bangga dengan kejayaan-kejayaan adik…
Tapi mata tua ini tak pernah berhenti menangis di setiap kali sujud kepada-Nya…walaupun ayah dah menginjak ke 61 tahun, tapi ayah masih tak mampu  untuk tersenyum bahagia…
            Apalah guna ilmu agama didada ayah, tapi tegar membiarkan adik hanyut dengan arus duniawi… Adik kata adik dah besar, adik boleh pilih jalan hidup adik sendiri. Ayah tak perlu campur urusan adik... Tahukah adik saat tu hati ayah seakan lumat, walaupun bibir ayah tersenyum… Ayah selalu rindukan adik waktu adik masih di alam persekolahan. Adik selalu cium tangan dan kedua-dua belah pipi cekung ayah. Adik selalu bercerita kat ayah, dan bila adik ada masalah adik selalu menangis dipangkuan ayah. Bila ayah bagi kata-kata nasihat adik dah tak nangis, adik peluk ayah dan dakap ayah erat. Adik selalu cakap yang adik tak kan lupakan nasihat-nasihat ayah, adik akan jadi anak yang solehah. Adik tak kan biarkan ayah menangis kerana risaukan adik. Adik akan selalu doakan ayah sentiasa dirahmati Allah s.w.t… saat tu adalah saat yang paling membahagiakan ayah.
Saat ayah tegur adik, bilamana ayah dah tak mampu membutakan mata hati ayah, adik merajuk…tak lagi sudi menjenguk ayah dikampung. Adik cakap ayah kolot, kekampungan, tak open minded…


Adik…
            Adik pernah cakap yang adik tak kan biarkan ayah menangis kerana risaukan adik, tapi adik dah lupa janji-janji adik… Tahukah adik, apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia, tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya, membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat…maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya…
Bahagiakah ayah? Megahkah ayah dengan hadiah-hadiah berjenama dan segulung ijazah dari luar negara dari adik? Segulung kertas yang telah mengubah ‘adik’ ayah…segulung kertas yang memberi sejuta kepahitan dan kesedihan buat ayah itu benar-benar berjaya mengubah adik…


Adik …
            Adik pernah cakap kat ayah yang adik akan selalu  doakan ayah agar sentiasa dirahmati Allah s.w.t, adik akan jadi anak solehah…
Tapi adik sekarang dah lain… Adik tak pakai tudung dengan alasan bumi kini makin panas. Adik kata: “Rimas la ayah ! Adik ada migraine, cepat pening nanti!” Bila ayah ingatkan adik dengan azab-azab dari Allah s.w.t, adik cepat-cepat angkat punggung nak balik. Nasihat-nasihat ayah tak lagi mampu mendamaikan jiwa adik. Suara ayah tak lagi mampu memujuk hati adik…
Ada suatu hari yang adik jalan ke kedai, kebetulan ayah baru keluar surau. Ketika tu ayah nampak ramai budak-budak lelaki pandang dan tenung adik dari atas ke bawah. Ada yang bersiul-siul, dan ada pula yang cuba memegang adik… Ayah segera berlari mendapatkan adik, walaupun ayah ada asma. Tapi saat tu hanya adik dikepala ayah. Bila ayah tegur budak-budak lelaki tu, adik tarik muka. Lepas tu adik dah tak cakap dengan ayah. Sampai je kat rumah adik marah-marah ayah. Adik cakap ayah dah malukan adik. Sekali lagi adik panggil ayah ‘Old Man’… Ayah tak marah adik marahkan ayah…tapi hati ayah dah merintih hiba bila adik cakap, “Salahkah diorang nak tengok keindahan bentuk badan adik? Nanti diorang puji adik, then mesti ramai yang nak bermenantukan adik…”


Adik…kalau lah saat tu mampu ayah gadaikan nyawa ayah supaya adik tak berpakaian macam tu, ayah sanggup dik. Biarlah berjuta cacian dan makian adik untuk ayah, ayah tak kisah…asalkan ayah tidak tergolong dalam lelaki dayus sebagimana hadis Rasulullah s.a.w: Apakah dayus itu wahai Rasulullah s.a.w? Jawab Nabi: Iaitu seseorang(lelaki) yang membiarkan kejahatan (zina, buka aurat, bergaul bebas) dilakukan oleh ahlinya (isteri, dan keluarganya).


Adik…
            Seindah-indah hiasan didunia ini adalah wanita yang solehah… Adik…wanita solehah itu auratnya dijaga, pergaulannya dipagari,  dan sifat malu pengikat diri. Keayuan wanita solehah tidak terletak pada kecantikan wajahnya. Kemanisan wanita solehah tidak terletak pada kemanjaannya. Daya penarik wanita solehah itu, bukan pada kemanisan bicaranya yang menggoncang iman para muslimin..dan bukan jua terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu…


Adik…
            Jangan dibangga dengan kecantikan luaran…kerana suatu hari nanti ianya akan lapuk ditelan zaman. Jangan berbangga dengan ilmu duniawi yang adik genggami, kerana ada lagi manusia yang lebih bijaksana dari adik…


Adik…
            Lelaki yang soleh bukan terletak pada raut ketampanannya. Bukan jua terletak pada harta kekayaannya, bukan jua terletak pada manis bicaranya…kerana lelaki yang soleh itu terletak pada kemampuannya menjadi iman, kerana adik dan zuriat-zuriat adik bakal menjadi makmunnya…


Adik…
            Jadilah seorang wanita yang memelihara agama sepertimana aurat adik  terjaga rapi, siramlah hati dengan taqwa sebagai bekalan menghadap Yang Kuasa, hiasi peribadi dengan sifat mahmudah agar kelak tidak dipandang rendah dan lagi indah kalau adik berperibadi mulia…kerana itu sebaik-baik hiasan dunia…


Adik…
            Tiada yang lain yang ayah harapkan dari adik…melainkan doa adik buat bekalan ayah saat ajal menjemput tiba…
            Sabda Rasulullah s.a.w: “Apabila telah meninggal manusia putuslah amalnya, kecuali dari tiga perkara: sedekah jariah (umpamanya membuat masjid) atau ilmu yang memberi manfaat atau anak yang soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim.)
             Ayah tak pernah menyesal dengan lahirnya adik sebagai anak ayah… Ayah tak pernah berkecil hati dengan setiap perbuatan adik dekat ayah… Ayah cukup bahagia dengan kejayaan-kejayaan adik… Ayah tak mengharapkan harta dan kemewahan adik…Cuma satu yang ayah minta…doakan ayah disetiap kali sujud adik… Moga dapat kita disatukan disana kelak.


Adik…
            Ketika adik lahir, adik menangis dan orang disekeliling adik tersenyum bahagia. Jalanilah hidup adik sehingga nanti adik mati…adik tersenyum dan orang disekeliling adik menangis… Doa ayah sentiasa mengiringi setiap langkah adik. Jadilah hamba-Nya yang sebenar-benarnya, jangan hanya berpaksikan Islam sebagai keturunan…sesungguhnya kemanisan Islam itu tiada tandingannya…
            Maafkan ayah atas segala salah dan silap sepanjang ayah membesarkan adik. Halalkan makan, minum dan pakai yang pernah adik berikan untuk ayah. Moga adik dikurniakan hidayah dari-Nya…

Wassalam…


~Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu. Sesungguhnya kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan.~

**Al-Fatihah buat Allahyarham Ghazalii B Hassan dan Othman B Mat Akib~



No comments:

Post a Comment