Saturday, June 25, 2011

Iman Yang Kuat Dalam Jasmani Yang Lumpuh


Muq'ad seorang yang lumpuh kakinya. Beliau tidak dapat bergerak dan berpergian sendiri tanpa bantuan.
Namun dirinya tidak pernah sunyi dari mengikuti tentang perkembangan Islam dan perjuangan Nabi Muhammad
s.a.w. Walaupun dirinya tiada kudrat untuk disumbangkan, namun hatinya mencintai Allah s.w.t dan Rasul
dalam kemampuan yang ada padanya.

         Demi rasa cinta dan rindunya yang membuak-buak untuk menatap dan mendengarkan suara Rasulullah
         s.a.w diminta keluarganya agar mendudukkannya dipinggir jalan laluan Nabi s.a.w. Tidak pernah hirau  
         berapa lama harus menunggu Nabi melalui jalanan itu kerana baginya menunggu itu sudah cukup untuk
         menyejukkan hatinya.

Keadaan Muq'ad diketahui dan dirasai Nabi Muhammad s.a.w. Apabila baginda lalu, baginda akan mengucapkan salam kepada Muq'ad. Betapa hatinya gembira dapat bersalam dan mendengar suara Nabi Muhammad s.a.w walaupun hanya sepintas lalu. Begitulah keadaannya disetiap hari.

Sampai saat ajalnya menjemput, kematiannya dikhabarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Baginda dengan penuh keharuan segera ke pondok yang didirikan di pinggir jalan atas permintaan Muq'ad demi kecintaannya yang amat besar kepada Nabi Muhammad s.a.w. Beberapa orang sahabat bersama baginda bagi membantu menguruskan jenazah Muq'ad.

      Baginda berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Seorang pun tidak boleh mendekati tempatnya selain dari
      aku."

Baginda segera masuk ke pondok Muq'ad dan baginda lihat Malaikat Jibrail sudah berada dekat Muq'ad.

"Wahai Rasulullah! Sekiranya engkau tidak datang, maka kamilah yang akan menguruskan mayatnya. Tetapi kerana engkau sudah datang, maka engkaulah yang lebih utama menguruskannya." demikian Jibrail berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w dengan dibantu sahabat-sahabatnya menguruskan jenazah Muq'ad. Jenazah Muq'ad dimandikan, dikafani, disalatkan dan dimasukkan ke kubur. Sempurnalah jenazah Muq'ad menuju ke alam Baqa' dengan iman yang unggul berada di dalam badan yang lumpuh.

Walaupun dirinya lumpuh, tetapi imannya tidak lumpuh. Dengan iman yang hidup dijiwanya Muq'ad mencintai Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Dengan ini jualah bekalannya menghadap Yang Esa.

~Berbahagialah orang yang lumpuh jasmani tetapi Imannya tidak lumpuh dibandingkan dengan orang yang jasmaninya tidak lumpuh tetapi Imannya lumpuh~

Buku: Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah s.a.w
Penulis: Nawawi Dusuki

No comments:

Post a Comment